Salam ceria buat semua pemancing di luar sana. Kedatangan tahun baru kali ini dihujani pelbagai peristiwa bersejarah. Kisah banjir dan kemalangan udara begitu hangat diperkatakan ketika ini. Bukan setakat yang tua malahan yang muda juga sudah pandai mengulas. Apapun yang terjadi, semuanya adalah kehendak Allah yang maha berkuasa.
Hari demi hari, aktiviti memancing di kawasan Port Klang ini memang semakin rancak. Jika dilihat dari segi trip yang berlangsung, terdapat peningkatan dari segi jumlah pengunjung dan pemilikan bot di semua kawasan. Ini menunjukkan bahawa aktiviti ini berpotensi untuk sentiasa maju seperti di negara lain. Tidak salah sekiranya aktiviti memancing boleh dikatakan antara aktiviti beriadah terbaik di malaysia.
Tidak kisah di mana anda memancing, pastikan kita menjaga etika dan tatatertib pemancing yang baik. Sentiasa menjaga dan memelihara ekosistem yang wujud supaya ia kekal dan dapat dinikmati generasi pemancing selepas kita. Ini kerana kebanyakan padang pancing kita telah pun musnah atau berkurangan penghuninya akibat kerakusan kita sendiri. Tak perlulah saya terangkan semuanya di sini kerana sebagai pemancing profesional anda sudah tahu apa yang saya maksudkan tadi.
Apa yang kami harapkan, semoga kedatangan tahun 2015 ini akan membawa lebih banyak kebaikan berbanding dengan tahun yang sudah. Terima kasih kepada semua pengunjung blog dan ahli trip yang sentiasa menggunakan perkhidmatan kami. Tanpa anda, siapalah kami. Semoga anda dimurahkankan rezki dan dipermudahkan urusan di sepanjang tahun ini.
Selamat tahun baru 2015!
Dari krew pancingport.blogspot