Bot kami 21 kaki/30hp telah di hantar ke Kuala Kerai bagi membantu proses penghantaran bantuan ke kawasan yang telah terputus hubungan. Penghantaran ini dilakukan oleh sebuah syarikat bumiputra yang beroperasi di Kota Kemuning. Permintaan mengejut kurang dari 4 jam ini akhirnya berjaya dilaksanakan dan semua urusan berjaya diselesaikan atas bantuan ayah dan rakan. Oleh kerana saya berada di laut ketika itu, Tekong Sahril telah membantu mengubah bot ke lokasi sesuai sebelum berjaya di angkat ke dalam lori.
Ketika bencana banjir ini ramai juga yang meminta bantuan untuk mengunakan sampan dan enjin bagi penghantaran bantuan. Selain itu ada juga permintaan kecemasan untuk meminta bantuan menyelamat sekitar Temerloh di Pahang. Semua informasi ini kadangkala mengejutkan saya. Apalagi bila nada yang memanggil kedengaran begitu terdesak dan tertekan. Oleh kerana saya adalah rakan radio dan sentiasa memantau di frekuensi, beberapa maklumat penting ini berjaya disampaikan. Untuk pengetahuan anda, semua perhubungan terputus ketika itu. Hanya internet dan radio amatur saja yang berfungsi. Tidak semua maklumat ini adalah benar, namun sedaya upaya ditapis
terlebih dahulu. Kepada rakan-rakan yang ingin memberi maklumat, sila
pastikan ianya bukan copy paste.
Oleh kerana air telah mula surut, bot telah berada di atas lumpur dan terpaksa di tarik menggunakan lori.
Bot berjaya juga di naikkan untuk penghantaran.
Buat masa ini kebanyakan bot yang digunakan adalah jenis ringan sekitar 17 hingga 13 kaki memandangkan ia lebih sesuai di kawasan cetek. Ia tidak sesuai di kawasan air laju, dalam dan merbahaya bagi muatan besar. Enjin kaki pendek dengan hidrolik Jek lebih sesuai di waktu ini. Manakala kuasa enjin sekitar 10 hingga 40 hp sesuai mengikut kawasan dan saiz bot. Kepada rakan yang ingin membantu, sila pastikan hal ini diperhalusi terlebih dahulu. Satu lagi peringatan, terdapat pihak tertentu yang menangguk di air keruh ketika ini mengambil kesempatan di dalam kesusahan. Rakan-rakan, inilah waktunya kita membuat amal dan bantulah sedaya mungkin untuk mereka yang memerlukan. Semoga bantuan kita dapat meringankan bebanan rakan kita yang memerlukan di sana..