Khamis, 8 Januari 2015

Bantuan Banjir ke Kelantan

Jika sebelum ini hanya bot yang kami hantar, kini giliran saya pula menghantar bekalan. Misi yang saya tumpang ini disertai oleh rakan kenderaan Pacuan 4x4 dari Kuala Lumpur.  Hasil maklumat dari adik ipar, saya turut serta ke lokasi bencana.

4 Buah kenderaan Pacuan 4x4 yang sarat dengan muatan bantuan menuju ke lokasi. Pelbagai dugaan dan cabaran dilalui ketika mengikuti misi ini. Cuaca sejuk, kurang rehat dan tidak tidur selama 2 hari antara cabaran pertama ketika sampai di lokasi. Ketika masih gelap, pemandangan kami hanya di liputi kabus di sepanjang perjalanan. Namun semuanya berubah apabila matahari mula menyinar.
Berhenti di satu lokasi gelap ketika subuh untuk berehat.

Aktiviti memasak air untuk minuman panas.

Kabus yang jatuh seolah salji dapat anda lihat pada gambar di atas.

Kebanyakan lokasi yang baru surut dari air banjir ini, begitu menyedihkan. Lumpur merah menyeliputi permukaan tanah dan rumah. Terdapat banyak rumah yang senget atau bergerak dari tapak asal dan  ada yang  hanya tinggal tapak sahaja. Sisa sampah bertaburan di sana sini adalah pemandangan biasa di kebanyakan tempat. Kesan paras air dapat kami lihat berdasarkan sampah yang tergantung pada pohon kayu di setiap kawasan. Saya sendiri terkejut kerana paras air hampir di hujung pokok getah! 


Di tebing sungai kelantan, keadaannya lebih mengejutkan. Kawasan menjadi rata tanpa sebarang pokok di sebabkan pergerakan arus laju air banjir. Pemandangan ini dapat di lihat ketika kami melalui jambatan berdekatan. Banyak kenderaan tersadai tidak sempat di bawa keluar atau rosak ketika mengharungi kawasan banjir.

 Pemandangan dari atas jambatan, tebing yang rata.


Kereta ini berada di atas jambatan namun tetap di tenggelami air.



Setelah sampai di lokasi kami terpaksa meneliti maklumat dari penduduk setempat untuk mengagihkan bekalan. Masalah komunikasi berlainan dialek ini kadangkala menyukarkan kami mendapatkan maklumat yang tepat. Untung lah ada rakan yang berasal dari negeri sama, menjadi penterjemah dan orang tengah ketika berunding.


Jika mengikut maklumat dan pemerhatian yang kami jalankan, kebanyakan lokasi bencana yang berhampiran jalan utama adalah yang paling banyak menerima bantuan. Manakala yang berada jauh di pendalaman, amat sedikit jumlah yang di hantar. Berdasarkan maklumat penting ini, kami bergerak ke lokasi paling jauh dibantu dengan maklumat penduduk setempat yang baru kami perolehi.


Kemahiran orang tengah berkomunikasi dengan penduduk setempat, sangat membantu. Aktiviti pengagihan bantuan dapat di sempurnakan dengan jayanya, walaupun berlaku beberapa kejadian yang tidak disangka. Antaranya, salah satu dari kenderaan bantuan ini diserbu penduduk kampung ketika berpecah ke lokasi berlainan. Kami bernasib baik kerana mempunyai jaringan perhubungan yang baik di semua kenderaan. Apa yang di maksudkan ialah, sistem radio dua hala yang kami gunakan.


Setelah berbincang, kami mengambil keputusan untuk memecahkan barang bantuan kepada kuantiti yang lebih kecil supaya semua penduduk dapat merasai bantuan ini. Kerja membungkus semula dibuat di lokasi diiringi gurauan yang adakalanya begitu berat untuk mengelakkan kami tertidur dan leka dengan kerja yang dijalankan. Walaupun letih dan mengantuk, semua kerja dapat diselesaikan dengan baik. Rasa tanggungjawap dan komitmen yang diberikan setiap petugas begitu baik sekali. Akhirnya semua bantuan berjaya diagihkan dengan bantuan orang kampung dan penterjemah kami yang berkaliber.


Gosok gigi pun hanya di tepi jalan saja. 

Malang tidak berbau, salah satu dari kenderaan kami rosak ketika mengagihkan bantuan. Ketika dibaikpulih, kami berehat di sebuah masjid untuk makan dan membersihkan diri. Ketika di situ kami sempat berborak dengan penduduk sekitar. Banyak maklumat penting yang berguna kami perolehi di sini. Mengapa ia penting? Untuk pengetahuan anda, banyak maklumat mentah yang kami perolehi sebelum sampai di sini kebanyakannya adalah tidak tepat. Semua maklumat terkini ini penting bagi mengelakkan kami tertipu atau tersilap dalam pengagihan bantuan. Semua bantuan ini adalah amanah dari penderma dan perlu diuruskan sebaik mungkin.


Setelah di baik pulih, kenderaan ini bergerak semula ke lokasi tujuan.

Banyak pengalaman dan ilmu yang kami perolehi selama di sini memang berguna. Walaupun singkat, semuanya begitu bermakna. Kecekalan penduduk kampung menghadapi saat sukar begini begitu mengkagumkan kami. Walaupun keadaan terdesak, mereka masih mampu tersenyum dan bersabar dengan dugaan yang mendatang. Sebagai penyampai bantuan, kami juga faham dengan keadaan ini. Kepada yang ingin mendapatkan khidmat pacuan 4x4 ini untuk penghantaran, boleh menghubungi kami. Sekadar membantu kepada yang memerlukan, sekadar yang terdaya..