Kesukaran mendapatkan umpan sesuai ketika turun memancing ketika ini sering berlaku. Apa lagi jika umpan yang telah disediakan tidak menepati waktu sesuai digunakan. Hal ini sering terjadi kepada saya sendiri. Sebagai langkah berjaga-jaga, umpan sesuai perlu disediakan dari pelbagai jenis yang sesuai. Ini mengundang kesukaran dan lebih kerja kepada pemandu pancing seperti kami mahupun pemancing yang lain.
Hasil trip bersama En.Ghazali Subang
Menyediakan umpan satu masalah, selepas itu masalah lain pula timbul. Biasanya berkait dengan kos dan wang ringgit. Almaklumlah, umpan seperti Belanak Hidup, kurita, Udang hidup memang sukar diperolehi di kebanyakan tempat. Paling sukar, Belanak Hidup dan Kurita. Kami sendiri terpaksa menjala untuk mendapatkan umpan ini.
Kerapu kecil yang membaham umpan Belanak hidup kami, dilepaskan semula ke laut.
Jika di kawasan sangkar ikan Pulau Ketam, umpan Belanak hidup biasanya sering berhasil. Saiz umpan biasanya mempengaruhi saiz tangkapan yang bakal di bawa naik. Hanya yang berani dan berpengetahuan saja akan menggunakan teknik ini. Percayalah, teknik ini tidak akan berhasil kepada yang hanya mendengar dari mulut orang lain dan sekadar mencuba-cuba. Anda perlukan kesabaran, keyakinan dan usaha untuk menggunakan teknik ini. Teknik ini juga sering terjadi kepada umpan Ikan Gelama. Hanya yang tahu saja dimana waktu dan lokasi sesuai yang akan berhasil.
Sekiranya anda ingin memburu spesis di atas ini, umpan Belanak hidup adalah yang terbaik.
Sekiranya bernasib baik, lebih dari seekor dapat dinaikkan dengan cara ini.
Apollo mata kasar berumpan hirisan sotong juga kerap menghasilkan Ikan seperti Tetanda dan Gelama. Walaupun lebih kerap disambar Duri, ini lebih baik dari sekadar termenung menantikan hasil baik dihujung kail anda. Adakalanya, Ikan Duri yang bersaiz besar boleh juga dibawa balik untuk Asam Pedas atau Lemak Cili Api.
Ikan Belanak yang biasanya menghasilkan tangkapan baik, bersaiz 3 inci ke bawah. Tidak kiralah ianya yang panjang atau yang pendek asal putih sisik dan kuat renangannya. Mata kail dan perambut digunakan harus halus dan kecil dari umpan. Ini kesilapan biasa yang saya lihat dan sering saya tegur ketika trip. Kemalasan dan sikap sambil lewa anda akan menyebabkan kerugian pada diri sendiri.
Biasanya ketika air perlahan atau tidak berarus, umpan ini sangat efektif. Anda pasangkan perambut 2 1/2 kaki, mata kecil sesuai dengan Belanak hidup, gantung sekaki dari dasar dan letak joran anda ditempat selamat. Pergerakan ombak akan membuai bot dan umpan anda di bawah. Teknik ini sering berhasil dan kami praktikkan dari masa ke semasa. Senangin, Tetanda dan Kerapu biasanya mudah ditipu dengan cara ini.
Hasil Trip bersama En.Shah yang mana Belanak Hidup menghasilkan sesuatu ketika air tidak berarus.
Teori yang kami gunakan di atas, bukanlah tepat sepanjang masa. Ia berdasarkan pengalaman sepanjang masa di laut. Kadang kala ada juga kes-kes dimana ikan besar tidak menjamah umpan kerana saiz yang digunakan tidak sesuai di lokasi tersebut. Anda boleh lihat sendiri di artikel kami sebelum ini. Senang cerita, kadangkala umpan yang kita tidak sangka, menjadi pada hari tersebut, tidak menjadi pula di trip lain. Tak perlu lah anda marah atau kecewa kerana setiap rezki sudah pun di tuliskan untuk anda. Kita hanya sekadar berusaha..