Isnin, 22 Disember 2014

Memburu Sembilang Selat

Salah satu kegemaran saya adalah memburu Ikan Sembilang sekitar pulau berhampiran pengkalan. Banyak rupanya ikan Sembilang di sini. Tetapi perlu sedikit kemahiran mengesan kedudukan di mana ikan ini berehat dan menyorok. Nampak seperti mudah, rupanya saya sendiri masih perlu menambah ilmu.
Laluan sekitar pulau di Telok Gong sehingga ke jambatan adalah kawasan termudah untuk saya jejaki spesis ini. Salah satu yang saya belajar adalah, jika terdapat reba di alur selat, pasti spesis ini boleh di perolehi. Anda boleh meneliti kawasan yang sesuai dengan melihat riak atau olak air yang terjadi di kawasan tersebut. Alur yang mempunyai reba ini biasanya menjadi tempat perlindungan ikan ini bersama dengan ikan Gelama kecil.

Antara umpan terbaik, Perumpun Sarang dan Udang hidup. Kerapkali saiz udang hidup yang besar menghasilkan Ikan Sembilang sekitar 1 hingga 2 kg. Manakala Perumpun kepada saiz yang lebih kecil. Tiang jambatan juga kerap dihuni spesis ini. Waktu paling ideal, ketika air tinggi mula surut, 1 jam sebelum surut habis dan 1 jam ketika air mula naik pasang.