Isnin, 6 Januari 2014

Salam Tahun Baru 2014

Salam tahun baru kepada semua rakan pemancing di luar sana. Tahun 2013 yang mencabar telah meninggalkan kita. Manakala tahun baru yang menjelma, bakal menjanjikan cabaran baru bagi kita semua. Sabar dan hadapilah dengan semangat baru yang waja. Bagi kami di pancingport.blogspot berbagai cabaran telah ditempuhi walaupun pahit mahupun manis. Segalanya memberikan pengalaman yang sangat berharga, dikongsi bersama pemancing di luar sana.

Sepanjang tahun lepas pelbagai pembaharuan telah dapat dilaksanakan, manakala semua perancangan dapat dicapai hampir kesemuanya. Alhamdulillah, semuanya diatas sokongan krew pancingport.blogspot dan anda semua. Antara matlamat utama sejak blog ini ditubuhkan ialah, menjadikan Port Klang sebagai salah satu destinasi memancing yang terkenal setanding dengan nama-nama lain yang tersohor di luar Selangor. Walaupun ada yang mengatakan hal ini tidak mungkin menjadi kenyataan, bagi kami semuanya terletak di atas usaha gigih dan bukan hanya omongan kosong dimulut saja.

Dalam pada itu juga, ramai rakan-rakan pemancing yang dulu kerap turun bersama kami, kini sudah mempunyai bot sendiri. Alhamdulillah, setapak maju kehadapan dan semoga lebih maju pada tahun ini. Ini memberikan sedikit pendapatan kepada pemilik bot mahupun kutipan di pengkalan. Manakala penjual bot dapat menghasilkan pendapatan hasil dari jualan bot mereka. Putaran ini juga membantu dalam memeriahkan lagi hasil pendapatan individu yang terlibat dan secara tidak langsung melibatkan negeri dan negara kita.

Kepada yang telah memiliki bot sendiri, jadilah pemancing yang beretika. Jagalah kawasan memancing kita seperti rumah anda sendiri. Janganlah hanya mementingkan diri sendiri hingga merosakkan keindahan alam yang sedia ada. Sentiasa membina dan menjaga persahabatan diantara kita sebaik mungkin. Pelaut seperti kita, kemana pun anda berpusing, kita tetap akan berjumpa semula.

Akhir kata kepada semua peminat blog kami dan rakan-rakan pemancing, Selamat Tahun Baru 2014, semoga tahun baru ini memberikan keceriaan, kebahagiaan, kemurahan rezki dan keberkatan sepanjang masa. InsyaAllah..

"Memancing untuk kualiti, bukan kuantiti"

Ikhlas dari kami di pancingport.blogspot