Khamis, 30 Januari 2014

Trip tidur sepanjang malam..

Sudah lama kami tidak turun memancing bersama berdua memandangkan Acid sudah menjadi pemandu lori sepenuh masa di Kilang Ayam Eboi. Oleh kerana pada minggu ini operasi kilang tergendala sebentar, saya dan Acid turun untuk mengendap Sang Kurau. Harapan mengunung tinggi akhirnya kecundang kerana cuaca sejuk melampau. Keadaan angin sepoi-sepoi bahasa tanpa henti hingga ke pagi menyebabkan aktiviti memancing terganggu. Sebaliknya diganti dengan tidur-tidur ayam disamping menggigil kesejukan sepanjang malam. Walaupun 4 kali mengubah lokasi, hanya Gelama dan Semilang kecil yang diperolehi.

Selepas matahari mula menyinar dan cuaca sejuk menghilangkan diri, barulah kami bergerak semula menyambung aktiviti memancing. Badan pula tersa sakit, kesan cuaca sejuk pada malamnya. Selepas berlegar di kawasan Lebuh Gurap, kami mengambil keputusan pulang ke muara untuk mencari Sang Tirusan.


Setelah berpatah balik ke sungai, aktiviti dimulakan dengan menjala udang di sekitar kawasan tiang gombang. Terdapat banyak udang bersaiz besar di sekitar kawasan ini. Helahnya ialah, anda harus menjala di bahagian cetek pertemuan air jernih dan air keruh. Di sini, enjin terpaksa dinaikkan sedikit bagi mengelakkan bot tersangkut di lumpur. Setelah mendapatkan bekalan udang, kami singgah di satu lokasi pokok tumbang menunggu arus pasang masuk ke sungai. Sambil menunggu, kami masak dan makan tengahari.


Air jernih yang kami sangka berterusan rupanya keruh setelah arus mula laju. Jika mengikut kiraan air ketika ini, arus laju akan mula tenang setelah 2jam dari mula pasang. Jangkaan kami meleset bila mana air keruh hampir sepanjang masa pasang. Sang Sesirat begitu rakus membaham udang kami sehingga perambut terpaksa ditukar berulang kali. Sabar, sabar, dan sabar kata Acid. Kita tunggu dan sediakan perambut gantian sebanyak mungkin.


Akhirnya kesabaran terbalas dengan hasil tangkapan yang kerap kali dinaikkan. Antaranya Semilang, Tirusan, Gelama dan Tetanda hanya di satu lokasi tersebut. Hanya seekor Tirusan yang berjaya dinaikkan Acid kali ini. Sekor Pari Bintik berjaya saya naikkan dengan bersusah payah dek kerana set kecil yang digunakan. Tangkapan yang tidak sebesar mana ini menarik keluar hampir keseluruhan tali pancing saya.




Inilah yang dikatakan rezki dalam air. Yang dirancang begitu jauh jaraknya, tetapi yang berhasil lokasi berdekatan saja. Semua tangkapan menggunakan udang hidup yang dijala pada siang tersebut. Udang kolam yang kami bawa terlalu kecil dan kurang sesuai agaknya. Kehadiran kanopi baru pula melindungi kami dari panas terik. Hasil dari cuaca sejuk ini ini juga, saya demam selama 3 hari :)