Trip En Khairi bersama 3 orang rakan, saya bawakan ke Pulau Ketam. Hujan pada malam sebelumnya memusnahkan harapan kami untuk mendapatkan bekalan udang hidup. Ramai juga yang menghubungi saya untuk mendapatkan bekalan namun tidak dapat saya bantu. Udang hidup yang ditempah di pengkalan juga semuanya mati dalam simpanan. Faktor air kurang berkualiti menyumbang kepada hal ini. Begitu juga di kebanyakan penjual udang sekitar PortKlang. Inilah salah satu masalah yang sering kami hadapi sebagai tekong memancing, kesukaran mendapatkan bekalan umpan. Kami bersyukur apabila terdapat seekor Sotong Kurita yang masih hidup di beli dengan harga Rm8 di pengkalan.
Walaupun trip diteruskan tanpa umpan, satu lagi hal telah berlaku. Hujan lebat dari arah laut terbuka melanda dengan begitu lebat sekali. Dengan kehadiran air hujan yang melalui perairan Pulau Ketam, harapan untuk mendapatkan tangkapan baik, musnah sama sekali. Hanya beberapa ekor Gelama dan Tetanda kecil sahaja berjaya dinaikkan. Inilah yang dinamakan tiada rezki atau bukan rezki mereka.
Terdapat 30 buah sampan sekitar muara sungai dan kawasan sangkar, juga terpaksa akur dengan nasib masing-masing. kawasan sungai juga menjadi tumpuan aktiviti menjala udang dek kerana kesukaran mendapatkan umpan tersedia. Trip akhirnya saya lencongkan di perjalanan pulang ke kawasan kapal berlabuh di NorthPort. Ada juga hasil Tetuka dan Gelama Pisang, walaupun hari sudah malam. Kami akhirnya terpaksa pulang ke pengkalan. Terima kasih kerana sudi turun bersama kami.
Oleh kerana trip tersebut tidak berjaya, kami segera mencari punca dan membuat teori. Pada 12/11 sehari selepasnya, saya dan Komando_sg turun semula pada waktu malam dan pulang pada jam 12 tengahari berikutnya. Hujan sama seperti mana trip tempoh hari, melanda kami dari jam 12 malam hingga 5 pagi, bersama angin kencang juga dari perairan terbuka. Kami bernasib baik kerana bot kecil mempunyai kanopi dan berlindung di lokasi yang sama. Hanya Semilang dan Belukang dapat dinaikkan manakala Komando_sg hanya tidur kerana keletihan.
Setelah hari mula terang, udang kolam yang kami bawa nampaknya masih segar. Kami berlabuh di spot kumpau tempoh hari dan mula menunggu hasil dinaikkan. Air yang sudah mula pasang perlahan mula menolak masuk air jernih ke kawasan sangkar. Pada waktu ini barulah seekor Kerapu berjaya dinaikkan. Setelah semalaman menunggu dan 1/2 jam menanti di lokasi tersebut, seekor Kerapu kecil menaikkan semangat kami. Keputusan untuk terus menunggu mengubah nasib kami. Selang beberapa ketika Kerapu saiz sama muncul beberapa kali sehinggalah air mula laju melalui kawasan kami. Umpan Ikan Gelama hiris dan kepala ikan Bolos yang kami potong, mendapat sambutan. Ketika ini juga, seekor ikan Kurau terlepas dari kail Komando_sg. Setelah puas berpusing-pusing di belakang sampan, ikan akhirnya terlepas. Mata kail kecil yang digunakan mungkin tidak sangkut tepat pada mulut ikan. Rezeki mata kata orang, tak merasalah nak dipegang.
Setelah ikan mula kurang, kami bergerak ke lokasi lain dengan baki umpan yang ada. Ketika proses menyuluh, satu lagi spot cantik ditemui. Namun sekadar meninjau dan simpanan masa akan datang. Lokasi akhir menghasilkan seekor Kerapu kecil saja. Kami pulang ke pengkalan setelah semuanya selesai.
Tips untuk pemancing lain yang pernah mengalami masalah seperti ini, tunggu air pasang semula untuk memancing. Arus pasang akan menolak semula air hujan atau dengan kata lain air masin akan masuk semula menolak air tawar keluar dari lokasi anda. Ketika ini kebanyakan ikan sangkar akan mula aktif memakan umpan. Jika kena tepat pada lokasi dan masanya, anda mungkin berjaya menaikkan tangkapan baik!