Selasa, 5 November 2013

Mencari Tapak Baru..

Minggu ini, terdapat banyak cuti umum jatuh pada keadaan air besar. Keadaan arus selaju peluru dan keruh, kurang sesuai untuk memancing. Untuk pengetahuan anda, bukan semua tempat tidak boleh kita kunjungi untuk memancing, ada sesetengah kawasan berisi ketika ini. Terdapat waktu-waktu sesuai untuk memancing di lokasi tertentu mengikut keadaan air laju seperti ini. Kecekapan dan usaha perlu lebih dari waktu biasa kita turun ketika air mati. Untuk peringatan kepada rakan pemancing lain, lokasi seperti ini tidak sesuai ketika air mati, hanya ketika air besar saja boleh di kunjungi.
 
Tujuan trip kali ini adalah, menduga lokasi yang tidak pernah kami kunjungi untuk tambahan tapak-tapak baru ketika trip memancing. Sebenarnya, banyak lokasi berpotensi yang kami tidak sedari boleh menghasilkan tangkapan baik. Walaupun tidak sehebat ketika air mati ataupun sehebat Pulau Ketam yang sering menjadi bualan pemancing, lokasi ini masih mampu menghasilkan tangkapan gred A seperti Tetanda, Tebal Pipi dan Siakap. Contohnya lokasi seperti di atas ini. Pokok besar yang terjatuh ke dalam laluan sungai seringkali di jadikan tempat berlindung bagi spesis Semilang ketika air besar. Di lokasi ini saja terdapat 7 ekor yang berjaya dinaikkan.

Semilang yang dinaikkan mengunakan umpan Udang Hidup saiz sederhana dicangkuk pada bahagian ekor. Ketika ini air baru mula pasang dan arus perlahan memasuki sungai. Walaupun air keruh, tiada gangguan Sang Sesirat sehinggalah air naik separuh. Sekiranya air sudah mula tinggi dan banyak ikan Duri mengganggu, ubah lah lokasi anda dengan segera dan carilah lokasi lain keluar dari sungai. Ketika air besar, ada waktu tertentu air jernih melalui kawasan berpotensi. Anda perlu pantas dan cepat mengatur langkah mengubah lokasi sebelum air keruh semula. Walaupun air jernih yang melalui kawasan berpotensi hanya setengah jam, dalam waktu setengah jam tersebut kemungkinan besar spesis berharga yang anda buru boleh diperolehi. Disini, kepantasan mengagak dan pengalaman memerhati amat diperlukan.

Selain itu, terdapat banyak ikan Belukang bersaiz sederhana turut terjerat dengan umpan kami. Nasihat kami kepada anda, letak joran dengan baik untuk mengelakkan ia terjatuh ketika anda terleka.

Ikan Semilang di sini berbeza dengan ikan Semilang yang dipancing di kawasan muara sungai Kelang. Dagingnya keras dan tidak berbau hancing. Bewarna kelabu dan bukannya hitam. Kebanyakan nya rakus menjamah umpan ketika arus mula pasang. Sekiranya anda ingin menjerat sepesis ini, pastikan anda berada di laluan air masuk ke sungai di kawasan alur. Lebih baik jika terdapat kayu seperti di atas tadi.

Ramai yang mengatakan bahawa ikan seperti ini tidak sehebat ikan Jenahak atau Merah di kawasan lain. Perlu anda fahami bahawa semua lokasi ini berada di muara dan selat yang terlindung dengan paya bakau dan tidak sama dengan kawasan laut terbuka. Namun terdapat juga saiz besar kerap diperolehi ketika waktu-waktu tertentu. Ini terbukti apabila jaring-jaring tagan memenuhi lokasi ini ketika air mati.

Umpan terbaik di kawasan ini adalah Udang saiz kecil dan Perumpun Sarang. Gunakan hanya satu mata saja untuk mengelakkan tersangkut pada reba atau batu di dasar. Pastikan umpan dilontar mengikut arus bukan melawan arus.



Lokasi ini bersebelahan Navy/ Tldm dan terdapat tebing batu penghalang ombak. Adakalanya terdapat pemancing yang menebing menggunakan joran panjang di kawasan ini. Ketika ini bot kami labuh 30 kaki dari tebing dan hanya menjatuhkan umpan di bawah bot. Motif kami ialah, umpan di labuh pada garis terakhir batu-batu tebing. Terdapat banyak Ikan Tetanda, Gerut dan Tetuka berada di garis ini.




Hasil seperti ini tidak lah sehebat mana jika dibandingkan dengan pemancing yang lebih berpengalaman dari kami. Namun kami bersyukur dengan pemberianNya. Sebagai pemancing yang masih baru, kami sentiasa menimba ilmu dan memantapkan kemahiran selagi mampu dan terdaya. Bagi kami, memancing bukan sekadar hobi, tetapi satu kerjaya.