Selasa, 26 November 2013

Operasi Menjejak "Pemburu Malam"

Menjadikan hobi memancing sebagai satu kerjaya sepenuh masa bukanlah satu kerja yang mudah. Maklumlah, hasil laut tidak dapat kami jangka dengan mata kasar. Kami terpaksa bekerja keras menimba ilmu dan memantapkan lagi kemahiran yang sedia ada sepanjang masa. Perkataan "nasib baik" bukanlah perkataan utama kami, tetapi usaha, kerja keras dan tawakkal menjadi pegangan kami. Banyak tenaga, masa dan wang ringgit di gunakan bagi mencapai matlamat ini. Terdapat ramai tekong tersohor di PortKlang, tetapi yang pasti kami bukanlah salah satu darinya. Masih banyak yang perlu kami pelajari jika mahu menjadi yang terbaik.

Operasi kali ini bergerak pada waktu malam bermula jam 9 malam Isnin dan dijangka berakhir pada 5 petang Selasa. Bersama saya, Komando_sg turun mengunakan sampan kecil. Keadaan enjin semput-semput walaupun baru diperbaiki, misi tetap diteruskan. Lokasi kawasan sangkar Pulau Ketam menjadi sasaran utama kami. Misi kami pada malam ini, memburu Ikan Jenahak dan Merah. 

Kawasan sangkar di kawasan ini adalah larangan pada waktu malam. Kami hanya berlabuh di beberapa lokasi sesuai sebelum ribut melanda.Tangkapan sasaran berjaya dinaikkan walaupun kecil. Umpan Beliak Mata yang kami jala nampaknya memang mendapat sambutan. 

Merah kedua ini berjaya dinaikkan di lokasi sama juga dengan umpan yang sama. Umpan perlu digantung di bawah sampan memandangkan arus mati ketika ini. Selepas tangkapan ini satu tarikan kasar tidak berjaya dibawa naik, terlucut ketika tarik menarik berlaku. 

Selang beberapa lama, angin kencang dan hujan membadai bot kami. Kami terpaksa berlindung di kawasan sungai sehingga awal pagi. Selebihnya kami berehat di bawah kanopi dengan baju hujan sebagai pelindung tambahan. Walaupun tempoh memancing tidak lama dan hanya 2 ekor berjaya dinaikkan, persoalan telah terjawap. Ikan merah di sini, memang makan pada waktu malam. Sebelum waktu pagi, kami menukar haluan keluar semula dan hujan masih mengekori kami. Ketika hari mula terang, barulah aktiviti memancing diteruskan. Setelah bertukar ke lokasi baru, kami mula menunggu dan matahari mula menunjukkan sinar hangatnya. Setelah 3 jam menunggu di lokasi, barulah ikan mula menjamah umpan.


Si pencuri yang pandai mengikis umpan kami sehingga tulang saja yang tinggal.

 
 Setelah 3 jam menunggu di lokasi baru, barulah ikan mula mengganas. Ikan pertama dinaikkan ketika kami cuba menukar kedudukan. Ikan yang hanya mendiamkan diri cuma disedari ketika tali digulung. Serentak dengan itu 6 ekor berjaya dinaikkan komando_sg. Kami terpaksa bekerja keras mengelakkan ikan masuk ke kawasan reba. Walaupun begitu, ada juga yang sempat masuk tetapi berjaya di pujuk keluar semula. Hanya satu perambut putus itupun koyan yang saya letakkan di bawah sampan tidak saya sedari telah dilarikan ikan ke reba. Selepas putus, tiada langsung ikan menjamah umpan kami.







Setelah menunggu seketika, kami mengubah bot ke lokasi yang lain. Ketika ini air sudah mula tidak berarus dan bot amat sukar untuk berada di kedudukan yang sesuai. Angin kencang juga menyukarkan kami untuk memancing. Ketika air sudah mula bergerak semula, barulah ikan mula aktif menjamah umpan kami. Gerut-Gerut, Tetanda dan Kerapu kecil dinaikkan berselang-seli. Kehadiran ikan Duri yang menjadi penghuni tetap di sini juga ada dinaikkan bersama. Terdapat 2 bot di hadapan kami juga kerap menaikkan spesis yang sama. Bezanya, umpan udang hidup yang mereka gunakan lebih efektif berbanding dengan udang kupas dan hirisan kembung yang kami gunakan.


Setelah air mula kuat, kami bergerak ke lokasi terakhir dalam mengakhiri misi hari ini. Memandangkan umpan telah mula kurang, ikan Gerut yang kami perolehi, kami hiris untuk dijadikan umpan. Menunggu hampir sejam dan diganggu ikan Duri, akhirnya tangkapan pertama dinaikkan. 

Terdapat 4 ekor berjaya dinaikkan di lokasi ini semuanya giliran saya menuai hasil. 

Hasil seperti ini tidaklah sehebat mana, tetapi cara makan dan daya tarikan memang begitu kuat sekali. Anda bayangkan joran melentur dengan tali keluar seolah plastik besar yang tersangkut. Jika terleka, kemungkinan joran jatuh memang ada. Kebanyakan cara makan ikan disini, umpan akan diganggu Ikan Duri terlebih dulu sebelum Ikan besar menjamah umpan. Setelah umpan habis, kami bergerak ke kawasan dalam dan hanya Duri berjaya dinaikkan. Kami pulang kepengkalan selepas itu. Walaupun letih, operasi kali ini berjaya. Banyak yang dapat kami pelajari disini. Trip yang begitu menguji kesabaran ini akhirnya sampai di pengkalan pada jam 5 petang.

Hasil keseluruhan setelah 24 jam di laut.

Terbesar 1.5 kg.

Merah 600gram.

Kerapu kecil 2.9 kg keseluruhan.

Singgah makan di restoran ketika perjalanan pulang. Makan berdua memang tak habis macam ni.