Sabtu, 30 Ogos 2025

Kolam Tilapia Merah diserang Memerang!!

 Membela ikan dalam kolam bukan lah kepakaran saya. Disebabkan saya lihat ia satu keperluan, akhirnya saya buat juga. Ini lah resmi pemancing tegar, dah duduk darat pun masih nak lihat ikan.


Ikan yg saya bela adalah ikan Tilapia Merah. Tujuan sebenarnya untuk lauk kecemasan jika diperlukan. Bersedia untuk sebarang kemungkinan, lebih baik ada dari langsung tidak ada. Ikan ni saya bela dari kecil hingga besar dan saya biak baka supaya lebih berkualiti. Benih ikan ni agak mahal sebenarnya dan ada harga. Cuma nak bela tu masalah sebab perlu kos makanan dan lain- lain.


Setelah setahun setengah berjalan, muncul masalah yg tidak dijangka. Kolam ikan diserang Memerang!



Saya tidak menyangka bahawa binatang ini akan sampai ke kawasan rumah. Lokasi rumah saya dikelilingi perumahan, jalan raya dan kebun sawit. Habis ikan dikolam ini dikerjakan! Dari berpuluh ekor baka yg saya simpan selama 2 tahun, hanya tinggal kurang 20 ekor induk saja. Itu pun yg kecil-kecil. Mujur lah masih ada anak benih tersisa yg terselamat dari serangan ini.


Kolam ini hanya ditepi rumah dan tidak berpagar. Memang mudah lah ia masuk, umpama masuk shoping kompleks tanpa bayar bil. Serangan ini berlaku pada waktu subuh sekitar jam 3 hingga 6 pagi, berselang seli selama 3 malam dan hanya disedari ketika sudah berakhir. Bunyi air kolam berkocak pelik menyebabkan kami bergegas keluar dan memeriksa kolam. Buka saja tingkap, melompat keluar si memerang tersebut. Kejadian pertama 2 ekor, saiz anjing. Kejadian kedua seekor kecil sebesar musang dan kejadian ketiga saiz kecil hampir berjaya ditangkap.

Sisa muntah dibawah pokok dan di bawah rumah.

Sempat ia bermain berdekatan menanda kawasan.

Oleh kerana itu, pagar jaring dibina bagi menyelamatkan baki ikan yg ada. Selama 2 hari bekerja, akhirnya pagar jaring siap dibina. Kesilapan pada diri sendiri yang tak sepatutnya berlaku iaitu kurangnya Penjagaan Keselamatan.

Jika kita mempunyai aset dan aset tersebut dirasakan berharga, pastikan ia dilindungi dengan sebaiknya. Ambil langkah perlu dan sentiasa bersedia untuk sebarang kemungkinan walaupun diluar jangkaan, kerana apabila sudah berlaku, ia mungkin sudah terlambat. Lindungi usaha anda!

Trip Kerja Air

 Masih ada kerja-kerja ringan dilaut yg perlu dilaksanakan. Kali ini mengambil gambar dan contoh air. Saya menggunakan bot rakan berikutan bot saya tidak sesuai digunakan. 

Bot dilengkapi 2 enjin dan tandas,  memudahkan kerja dan lebih selesa. 


Lokasi yg dituju agak jauh ketengah di kawasan bergelora dengan cuaca yg kurang baik. Buat kerja dalam cuaca buruk memang agak perit. Contoh air yg diambil terpaksa dibuat berhati-hati dan cermat bagi mengelakkan kecederaan.


Kerja berakhir pada jam 3 petang dan pulang ke pengkalan pada jam 4.30 petang. Bot ini juga digunakan untuk trip memancing 24 jam. Kepada yang berminat boleh lah menghubungi saya. 

Trip Selat bersama orang lama..

Trip memancing yang semakin berkurangan menyebabkan saya jarang turun ke laut. Kini hanya tinggal 1 bot yg digunakan. Bot lama saya bawa balik ke rumah dan ada yg telah dijual, berikutan kos selengara yg semakin tinggi. Semua perlu dibayar, namun pendapatan semakin berkurang. 

Pari daun yg comel..

Walaupun begitu masih ada pelanggan tetap lama yg masih sudi berkunjung memancing bersama saya. Walaupun hasil tangkapan tidak sebaik dahulu, masih ada sedikit hasil yg berjaya dibawa balik.


Oleh kerana arus perlahan dan air jernih ketika ini, saya memilih untuk berlabuh di atas tapak tukun yg saya buat lama dahulu. 

Masih ada rupanya penghuni disini. 

Spot ini dipenuhi sangkut berpanjangan. Ada saja umpan yg tersangkut dibawah. Kadangkala ikan makan pun terus sangkut. Tetapi kebanyakan sangkutnya boleh lepas semula, lebih lagi jika masih ada ikannya. 


Ini biasa berlaku jika joran sudah lama tak digunakan. Tidak jadi masalah pada saya kerana barang gantian sentiasa saya bawa bersama. 

Ikan Gelama disini bersaiz agak besar dan jumlahnya banyak. 

Sesuatu yg kerap saya perasan, di spot ini sering terdapat Ikan Senangin bersaiz cantik. Ini membuktikan bahawa tukun yg dibina memang sesuai digunakan. 


Tetanda saiz kecil juga banyak di spot ini, cuma jumlahnya tidak lah banyak. 

Kadangkala seram juga bila melihat kapal lalu lalang hampir dengan bot kami. 


Trip diteruskan hingga ke sangkar Pulau Ketam, namun tak banyak hasil yg kami berjaya dinaikkan. Terima kasih kepada ahli trip yg masih sudi memancing bersama saya.

Rabu, 9 April 2025

Suzuki 115Hp, tukar trotel cable dan servis cukup jam

 Selengara enjin bot mengikut jam adalah perkara biasa bagi pengguna enjin 4 lejang di laut. Apabila cukup masa penggunaannya, minyak hitam dan penapis mesti ditukar supaya enjin tidak rosak dan panjang umurnya. Sama seperti kereta yang kita guna di darat.


Namun, kali ini bukan setakat minyak hitam dan penapis minyak, salah satu dari kabel minyak turut ditukar. Bahagian belakang berdekatan enjin telah berkarat dan pecah. Masalah timbul apabila salah satu skru remote telah loose dan tidak boleh dibuka.


Skru disebelah kiri adalah skru asal manakala skru disebelah kanan adalah yang rosak. Alat penarik skru terpaksa digunakan dan skru yang rosak berjaya dikeluarkan. Anda boleh belajar cara mengeluarkan skru tersebut di Youtube. Tetapi perlu ada Dril dan skru extractor, anda boleh beli di Hardware. Skru terpaksa saya grinder untuk membuat mata skru yang baru.


Cara untuk buka penutup ini juga agak rumit. Sebelum skru penutup boleh dibuka, remote ini perlu ditanggalkan dari kotak stering. Ada 3 skru panjang yang perlu dibuka. Dibelakang kotak ini ada pula skru pengikat handle trotel dan ia perlu dibuka telebih dahulu. Dah buka skru ini, trotel boleh ditanggalkan dan penutup bawah yang menutupi kabel, boleh dibuka. 


Apabila penutup sudah dibuka, barulah kepala kabel kelihatan dan proses menukar boleh dibuat. Tapi ini hanya untuk bahagian trotel saja. Bahagian belakang lain caranya.


Penutup atas dan sisi perlu dibuka terlebih dahulu. Penutup atas tiada masalah kerana ia mudah dibuka. Hanya tarik lock dan buka. Tetapi untuk bahagian sisi, terdapat 5 skru perlu dibuka dan kepala skru bersaiz 8mm jenis skru box. Dah longgar semua skru, barulah penutup sisi boleh dibuka.


Dah buka penutup, baru lah nampak kesemua ni. Untuk keluarkan kabel tadi, ada yg perlu dicungkil, di cabut dan ada juga klip yg perlu dibuka. Anda akan paham bila buat nanti.


Diantaranya adalah klip ini yang terletak diatas kepala pengikat kabel. Klip ini berfungsi mengikat kepala pengikat kabel supaya tidak terlepas. Ingat ya, yang ditukar hanya kabel saja, kepala pengikat perlu digunakan semula. Dan sekali lagi masalah berlaku. Kepala kabel dibahagian ini berkarat dan tidak boleh dibuka. Maka bertambahlah kerjanya. Kabel yang rosak ini terpaksa saya bawa pulang untuk dikeluarkan. Dah puas putar memutar, rendam minyak pun masih tidak boleh dibuka. Akhirnya saya panaskan skru dan cabut. Skru baru terpaksa dibuat kembali. Sebenarnya kepala pengikat boleh laras ini ada dijual, cuma makan masa dan kos.


Pengikat ini saya ubahsuai dan gunakan semula sementara menunggu barang gantian yang baru. Saya cantum skru lama dengan gam besi.

Setelah sehari dan dipastikan kering sepenuhnya, barulah dipasang semula ke penyambung enjin. Selesai memasang semua bahagian kabel tadi, saya menunggu air pasang untuk menukar minyak hitam pula. Kenapa air pasang?? Sebab jika air surut, enjin berada dalam keadaan baring. Untuk keluarkan semua minyak hitam, enjin perlu ditegakkan. Salah satu caranya naik pelantar yang tinggi dan kerja dibuat ketika air surut.

Tunggu air pasang baru kita sambung semula..



Isnin, 24 Februari 2025

Sampan kayu replika

 

Sampan replika pertama untuk awal tahun ini berukuran 9 kaki dengan tempoh masa agak pendek. Bila terlalu laju, banyak lah cacat celanya.


Untuk membina sampan sekecil ini, walaupun hanya berstatus replika, ia memerlukan masa yg cukup lama. Maklumlah yang membuat bukan lah pakar membina bot. Ilmunya hanya sekadar tahu dan bukannya mahir.


Lagi kecil ukuran, lagi sukar pembinaannya. Mungkin ilmu yg ada masih tidak cukup untuk digunakan. Perlu banyak belajar lagi dengan org yang lebih berilmu. Entah bila agaknya saya dapat berguru dengan guru yang hebat diluar sana. 

Sampan ini model lepak jantan, lunas hadapan. Terima kasih kepada yg menempah, maaf jika ada kekurangan.

Sampan Kayu Replika 2025

 Mulai tahun ini, saya tidak lagi membuat kerja-kerja membaiki sampan gentian kaca, berikutan keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan. Untuk sampan kayu ia tetap diteruskan. 


Salah satu sampan yang berjaya disiapkan.


Model kolek berukuran 12 kaki.

Replika ini akan digunakan di restoran yang menyajikan makanan di bulan puasa.


Sampan di lengkapi kaki mengikut ukuran yang dipinta.


Selain itu, ada juga dayung kayu sebagai tambahan dekorasi. Memang lah perlu ada, tak mungkin sampan tiada pendayung. Terima kasih kepada yang menempah.