Membela ikan dalam kolam bukan lah kepakaran saya. Disebabkan saya lihat ia satu keperluan, akhirnya saya buat juga. Ini lah resmi pemancing tegar, dah duduk darat pun masih nak lihat ikan.
Ikan yg saya bela adalah ikan Tilapia Merah. Tujuan sebenarnya untuk lauk kecemasan jika diperlukan. Bersedia untuk sebarang kemungkinan, lebih baik ada dari langsung tidak ada. Ikan ni saya bela dari kecil hingga besar dan saya biak baka supaya lebih berkualiti. Benih ikan ni agak mahal sebenarnya dan ada harga. Cuma nak bela tu masalah sebab perlu kos makanan dan lain- lain.
Setelah setahun setengah berjalan, muncul masalah yg tidak dijangka. Kolam ikan diserang Memerang!
Saya tidak menyangka bahawa binatang ini akan sampai ke kawasan rumah. Lokasi rumah saya dikelilingi perumahan, jalan raya dan kebun sawit. Habis ikan dikolam ini dikerjakan! Dari berpuluh ekor baka yg saya simpan selama 2 tahun, hanya tinggal kurang 20 ekor induk saja. Itu pun yg kecil-kecil. Mujur lah masih ada anak benih tersisa yg terselamat dari serangan ini.
Kolam ini hanya ditepi rumah dan tidak berpagar. Memang mudah lah ia masuk, umpama masuk shoping kompleks tanpa bayar bil. Serangan ini berlaku pada waktu subuh sekitar jam 3 hingga 6 pagi, berselang seli selama 3 malam dan hanya disedari ketika sudah berakhir. Bunyi air kolam berkocak pelik menyebabkan kami bergegas keluar dan memeriksa kolam. Buka saja tingkap, melompat keluar si memerang tersebut. Kejadian pertama 2 ekor, saiz anjing. Kejadian kedua seekor kecil sebesar musang dan kejadian ketiga saiz kecil hampir berjaya ditangkap.
Oleh kerana itu, pagar jaring dibina bagi menyelamatkan baki ikan yg ada. Selama 2 hari bekerja, akhirnya pagar jaring siap dibina. Kesilapan pada diri sendiri yang tak sepatutnya berlaku iaitu kurangnya Penjagaan Keselamatan.
Jika kita mempunyai aset dan aset tersebut dirasakan berharga, pastikan ia dilindungi dengan sebaiknya. Ambil langkah perlu dan sentiasa bersedia untuk sebarang kemungkinan walaupun diluar jangkaan, kerana apabila sudah berlaku, ia mungkin sudah terlambat. Lindungi usaha anda!