Khamis, 17 Ogos 2023

Bot bocor terkena batu karang!

 Bekerja di bawah dermaga kapal, memang terdapat banyak bahaya. Antara yang biasa berlaku adalah ombak kapal dari bahagian luar. Sungguhpun terdapat kapal berlabuh, kadangkala ada juga ombak yang terlepas dan tanpa disedari memberi bahaya kepada kami. Pada hari ini, salah satu bot yang digunakan telah bocor akibat terkena batu karang di tiang dermaga.



Ombak besar yang datang secara tiba-tiba, menghempas bot kami ke arah tiang. Kebocoran hanya disedari apabila salah seorang pekerja menyedari hal tersebut. Kami bernasib baik kerana lubang tersebut berada di atas paras air. Bot terpaksa disengetkan ketika bergerak balik untuk mengelakkan air masuk ke dalam.



Oleh kerana perjalanan balik agak jauh, mahu atau tidak, lubang tersebut perlu ditampal segera bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku. Salah satu cara mudah adalah menggunakan campuran polisterin dan petrol.


Campuran polisterin dan petrol ini di biarkan sebati sehingga menjadi likat dan ditampal pada bahagian yang bocor tadi. Ia bertindak sebagai gam kalis air dan akan mengeras. Setelah ditampal, ia boleh dirapikan menggunakan jari atau kain basah.


Selain menggunakan gam ini, kain juga boleh digunakan untuk menutup bocor. Satu lagi cara adalah menggunakan plastik yang dibakar. Semua cara ini membantu dalam kecemasan dan perlu diketahui oleh semua jurumudi berpengalaman. Yang penting bot tidak tenggelam dan selamat untuk sampai ke pengkalan!