Rabu, 28 Mac 2018

Trip Ufo, mesin mahal beraksi..

Sasaran trip kali ini adalah Ikan Pari (ufo) sebagai hasil utama. Berdasarkan pada air dan umpan, kami hanya berusaha sebaik mungkin dan meletakkan hasil usaha sebagai rezeki yang ghaib. Abg Amer dan 2 org rakannya penumpang saya kali ini. Trip dimulakan dengan aktiviti menukar enjin dari bot B(Viva) ke bot A(mecedis). Gelaran Sharil kepada 2 bot ini. Hanya kami saja yang memahami maksud gelaran ini.

 Kerja dimulakan dengan membuka skru pengikat di kedua-dua bot. Tenaga 4 orang diperlukan bagi kerja mengangkat ke atas pelantar. Dua org di atas, seorang di tengkuk enjin dan satu lagi di kotak gear. Sedikit mudah berbanding dengan kerja bertiga. Memang berat! Kerja menukar terpaksa dilakukan kerana bot viva kurang selesa dan penuh dengan teritip. Manakala enjin mecedis masih dibaiki di darat.

 Pada trip air mati yang lepas, tiada satu pun ufo berjaya dinaikkan. Kebanyakannya putus di tengah jalan. Ikan di sini kadangkala bijak memilih perambut halus berbanding perambut kasar. Ini menjadi masalah kepada joran kecil yang kami gunakan. Namun kali ini set mahal milik Abg Amer berjaya membawa naik spesis ganas ini.

 Hasil kali ini hanya seekor sahaja yang berjaya dibawa naik sehingga ke petang. Sungguh pun cuma seekor, matlamat yang dicari telah tercapai. Kami pulang seawal jam 5 ptg ke pengkalan.