Rabu, 28 Mac 2018

OverHoul Mercury 60hp, Piston Ring patah!

Kerosakan enjin bot adalah satu perkara yang amat berat kepada pemiliknya, lebih-lebih lagi kuasa kuda yang digunakan adalah besar. Secara logiknya, lagi besar enjin, lebih besar belanjanya. Hal ini telah berlaku kepada enjin kami dan proses baikpulih masih lagi berjalan.

 Proses pertama adalah membawa balik ke rumah, dan untuk lebih mudah, kesemua bahagian harus dipisahkan terlebih dahulu. Setelah dipisahkan kepada 3 bahagian, barulah ia mudah dibawa balik. Semua kerja dilakukan oleh saya dan Sharil di atas pelantar terapung di pengkalan.

 Bahagian tengah kami tinggalkan di bot, adalah lebih baik kesemua bahagian dibawa balik ke rumah kerana takut berjalan pula nanti. Oleh kerana masa yang terluang hanya waktu malam, semua kerja dibantu dengan sinaran lampu. 

 Sampai di rumah, bahagian flywheel perlu ditanggal terlebih dahulu dengan pembuka magnet khas. Anda boleh dapatkan maklumat di internet tentang peralatan tersebut. Kali ini pembuka magnet di pinjam dari seorang rakan yang dahulunya mempunyai alat ini. Untuk membuka ConRod, 2 lagi spanar khas perlu digunakan dan saiznya agak pelik. Sharil telah cuba membeli alat ini di kedai tetapi ia hanya dijual bersama 1 set spanar yang mahal harganya. Oleh yang demikian terpaksalah kami meminjam sekali lagi.

 Setelah dibuka, ternyata jangkaan kami jauh meleset. Bukan bearing yang rosak atau tanggal tetapi bahagian piston yang menjadi masalah. Bunyi yang terhasil di dalam enjin ini mungkin terhasil dari piston ring yang patah. Sharil mula mengesyaki hal ini apabila lubang plug yang disuluh mempunyai kesan pecah pada bahagian piston. Setelah dibuka, ia ternyata benar.

 Kerosakan pada piston dan ring ternyata tidak boleh digunakan lagi. Bahagian piston telah pecah dan masuk ke depan block. Piston ring juga patah juga masuk kebahagian depan. Untungnya tiada langsung kerosakan pada alur block seperti lubang atau garisan kasar pada laluan piston.

 Kerosakan lain termasuklah pada lubang piston ke 3 yang mana terdapat hakisan pada hujung block. Menurut kata Sharil ia dinamakan makan air. Besi pada bahagian tersebut seolah terhakis berkarat. Kami sendiri tidak pasti apakah punca sebenar ia berlaku.

 Setelah membuat pengiraan, ini adalah bahagian yang perlu diganti dan patut dibeli. Untuk pengetahuan, kebanyakan bahan ganti ini dari jenis yang murah, bukan yang asli. Bukan masalah wang ringgit yang dipersoalkan tetapi bahan gantian yang asli tidak ada dijual di satu tempat. Ada antara bahan gantian ini perlu dibeli di kedai berasingan dengan harga yang berlainan.



Semua barang gantian, menelan belanja rm1200 tidak termasuk kos sampingan. Kerja memasang di lakukan di rumah Sharil, itu pun jika semua kerja membaiki blok selesai dibuat. Perkembangan semasa enjin ini akan saya paparkan pada artikel akan datang datang.