Jumaat, 19 Februari 2016

Sekadar informasi, Ikhtiar hidup memancing..

Mencuba sesuatu yang baru adalah menjadi kebiasaan bagi saya. Bukan untuk menunjuk-nunjuk tetapi sekadar ilmu baru yang berharga untuk saya kongsikan bersama anda. Sesuatu yang anda tidak boleh dapat di majalah atau buku rujukan, semuanya hasil ujikaji dan pemerhatian sendiri. Tahukah Ikan Gelama yang anda pancing boleh dijadikan umpan? Jika anda pembaca setia blog ini sudah pasti anda tahu jawapannya.

Ujian sebelum ini membuktikan bahawa ikan Gelama boleh digunakan sebagai umpan ikan Kerapu, Merah dan Pari. Buktinya hanya kepada pembaca setia blog ini saja yang tahu. Populasinya yang banyak memungkinkan ia adalah makanan buat ikan di kawasan ini.

Hal ini terbukti apabila saya turun berseorangan tempoh hari ketika membersihkan teritip. Aktiviti memancing terganggu akibat ketiadaan umpan sesuai. Ikan Beliak Mata yang biasanya banyak dan mudah diperolehi langsung tidak kelihatan ketika ini. Hanya kumpulan ikan bilis saja yang muncul dipermukaan air.

Lain di cari, lain yang dapat.. Kuda laut yang tersangkut pada Apollo saya mengingatkan harga spesis ini yang mahal di pasaran. Tak perlu lah saya ulas tentang ini kerana nanti ada pula yang sibuk-sibuk nak mencarinya. Ingat, lindungi hasil laut kita sebaiknya. Aktiviti mencari umpan musnah sama sekali apabila kawanan ikan Talang melalui kawasan ini. Habis 3 set Apollo saya menjadi mangsanya. Puas saya selongkar kotak di bot bagi mencari baki-baki set apollo lama yang boleh digunakan.


Hasil pencarian, terdapat satu set apollo yang ditemui terlindung di balik jaket keselamatan. Bila Kawanan Talang berlalu, saya cuba semula untuk mencari umpan tetapi gagal. Hanya seekor Tamban berjaya dinaikkan. Tak mengapalah, kita cuba cara lain pula.



Ikan tamban ini saya buang sisik, potong kecil dan saya jadikan umpan untuk memancing Ikan Gelama. Manakala apollo yang sudah digunakan saya buang bulu dan gunakan semula sebagai mata rambai. Harap-harap adalah hasil yang menyangkut. 

Cubaan di lokasi pertama selama 15 minit gagal. Seekor Gelama pun tidak menjamah umpan. Jadi saya berpindah ke lokasi kedua. Di lokasi ini 5 ekor ikan Gelama berjaya dinaikkan selama hampir sejam di lokasi. Mungkin air yang tidak berarus menyebabkan ikan kurang aktif untuk makan.


Setelah memperolehi umpan, saya bergerak ke lokasi memancing sekitar Kota Sarang Lang. Keadaan air ketika ini adalah Air mati mula surut. Air yang perlahan dan jernih kadangkala sukar untuk memancing. Kelebihan bagi yang mempunyai umpan hidup. Ikan Gelama yang di jadikan umpan hanya di lontar di bawah bot dek kerana arus yang tidak kuat.


Jika kita memancing menggunakan umpan seperti ini, kita tidak perlu risau umpan cepat habis kerana hanya ikan tertentu saja yang bakal memakannya. Di kawasan seperti ini, gangguan ikan kecil amat kurang sekali. Oleh yang demikian ikan besar sempat menemui umpan kita walaupun kebarangkalian strike adalah rendah. Untuk anda mudah memahami teori ini, umpan kecil menghasilkan ikan kecil. Manakala umpan besar sudah pasti menghasilkan tangkapan besar. Diet ikan di kawasan memancing anda tidak sama. Jadi mencari spesis sasaran adalah lebih mudah jika kita menggunakan umpan yang tepat. Jika tidak 100%, 80% pun sudah dikira baik.

Hasil menunggu selama setengah jam, seekor Tanda besar berjaya saya naikkan. Beberapa minit selepas itu, satu lagi rentapan kasar gagal saya naikkan dek kerana tali utama putus. Jadi kali ini satu lagi bukti sohih yang berjaya saya buktikan. Informasi berharga dari kami di pancingport.blogspot untuk anda. Selamat memancing!