Memancing di kawasan anak-anak sungai dan selat sebenarnya amat menyeronokkan. Bagi kami, lokasi seperti ini memang tidak pernah menghampakan. Sekurang-kurangnya ada juga Tetanda dan Gelama berjaya dibawa naik. Hari ini saya, Ibu dan Eboi memancing di sekitar Selat Mahang sekadar berhibur sambil mencari lauk segar. Keadaan air besar ketika ini memang agak laju dan keruh namun ada hasil baik yang berjaya dinaikkan.
Lokasi pertama di kawasan berbatu di Navy..
Bertolak dari pengkalan sekitar jam 8 pagi, kami menuju ke Labuhan Gurap untuk menjala udang. Kembali ke asal seperti dulu-dulu, cari umpan dulu baru memancing. Terdapat 3 buah bot yang masih menjala ketika kami sampai dan air telah surut sepenuhnya. Saiz udang yang kami perolehi pula kecil dan sederhana, sesuai dengan mata kail yang kami gunakan.
Udang lipan yang memang besar di naikkan oleh ibu..
Sedap udang ni kalau dimasak kari, tetapi awas, kalau tak biasa yang makan boleh mabuk.
Memancing di kawasan selat dan anak sungai juga mempunyai teknik yang perlu anda ketahui. Ikan di kawasan ini cekap mengesan kehadiran manusia dan agak cerewet. Perambut sekitar 35 hingga 20 paun adalah terbaik bagi menipu sang ikan. Panjang perambut 1/2 depa dari kekili ke matakail. Manakala mata kail yang kami gunakan hanya layak untuk ikan Puyu jika memancing di parit. Biasanya pemancing lain akan mengetawakan kami sekiranya mereka terlihat saiz mata kail yang kami gunakan. Tetapi menggaru kepala bila melihat hasil yang kami dapat ketika di pengkalan. Namun inilah rahsia yang sepatutnya anda tahu dan kami kongsikan bersama anda.
Pari Lalat kot? Mata tejojol keluar dan ekor belang-belang.
Hasil di lokasi kedua, seekor Pari berjaya dibawa naik Ibu. Selain itu, Gelama dan Tetuka juga ada. Tak cukup dengan itu, Sesirat pun mengikut sekali. Almaklumlah, sungai-sungai kecil seperti ini memang menjadi habitatnya. Sediakan saja perambut lebih supaya senang nak ditukar. Tapi jika anda pandai dan cekap, penyepit panjang boleh digunakan bagi menanggalkan mata kail sebelum ia sempat membuat simpulan.
Sungai sekecil ini kadangkala ada hasil baik, cuma waktu dan umpan sesuai perlu kita ketahui.
Hasil berlabuh 1 jam, beberapa ekor Tetanda dan Seekor Pari seberat 5kg berjaya kami bawa naik. Cuba lihat mata kail yang saya gunakan, kecil saja. Mata kail ini saya ambil dari Apolo 3 mata yang di tinggalkan ahli trip lepas di dalam bot :) Perambut 30 paun "Cap Ayam" yang hanya Rm1 segulung. Cuma yang siksanya, bila anda terpaksa berhati-hati dan cermat ketika bermain tali. Lambat naik tak mengapa asalkan dapat naik.
Sehingga jam 5 petang, 12 ekor Tetanda, 2 ekor Pari dan ikan-ikan kecil berjaya dibawa naik. Keadaan angin kencang memang agak menyukarkan kami memancing. Bot terpaksa berlabuh di kawasan yang terlindung bagi memudahkan aktiviti memancing. Kami pulang sekitar jam 5.30 Petang ke pengkalan.