Selasa, 25 Mac 2014

Antara Ikan, Trip Kumpau Dan Tukun

Salam ceria kepada semua pengunjung blog kami. Terdapat banyak trip yang tidak dapat di simpan pada bulan ini berikutan peralatan sokongan yang kurang berfungsi meminta penambahbaikan. Ada juga trip yang pulang tangan kosong dengan tangkapan sekecil tapak tangan hinggalah sebesar ibu jari. Namun usaha tetap dijalankan bagi membolehkan hasil tangkapan yang diperolehi seimbang dengan kos yang dilabur.

 
 Ada banyak faktor yang mempengaruhi keadaan ini. Lokasi yang kurang sesuai ataupun rezki pemancing itu sendiri. Kerap kali hal ini terjadi, samada kami sebagai tekong ataupun ahli trip sendiri pasti akan menggaru kepala memikirkan kemana ikan-ikan ini pergi. Lokasi yang dipilih sesuai, air pula tidak sepertinya. Kadangkala air sesuai, begitu juga lokasi, arah tiupan angin pula tidak menyebelahi kami. Ada juga lokasi yang cantik, dipenuhi bot pemancing ketika hujung minggu. Kadangkala ada pula jaring di lokasi tersebut. Berbagai hal yang menjadi halangan kepada kami, adakalanya begitu mencabar kesabaran.


 Oleh yang demikian, pelbagai alat bantuan terpaksa digunakan bagi membantu pencarian ini. Antaranya set Sonar dan Gps yang kerapkali digunakan bagi memudahkan kerja. Namun kadangkalan alatatan ini juga tidak membantu. Begitu juga dengan pembinaan tukun tiruan yang memang tidak pernah kami pikirkan sebelum ini.


Pembinaan tukun tiruan memerlukan kos yang tinggi. Walaupun adakalanya sumber ini diperolehi percuma, ada banyak lagi kos sampingan yang masih perlu dikeluarkan. Kos pengangkutan misalnya memerlukan bahan bakar, masa dan tenaga. Namun kami bersyukur kerana semua anggota klik kami bekerjasama dalam menjalankan misi sukar ini. Adakalanya kami dicemuh, dipermainkan, malah ada juga yang mengangap bahawa kerja kami ini adalah usaha yang sia-sia, hanya kerana usaha yang dijalankan pihak sebelum ini menemui kegagalan. Perkara ini memang biasa didengar tetapi kami yakin suatu hari nanti, meraka akan berterima kasih malahan turut serta dalam usaha ini.


Usaha yang kami jalankan ini nampaknya sudah mula membuahkan hasil. Ada diantara tukun ini tidak sampai seminggu diturunkan, sudah mempunyai penghuni. Walaupun tidak sehebat lokasi terkenal di kawasan luar sana, hasil penat lelah kami terbalas. Jika berkesempatan, suatu hari nanti sebahagian lokasi ini akan didedahkan dan dikongsi bersama sebagai salah satu usaha pemeliharaan di kawasan ini.


Musim kemarau yang melanda negara kita, banyak mengganggu aktiviti memancing di kawasan ini. Sebagai contoh, terdapat 2 trip yang terpaksa pulang awal gara-gara mengalami gangguan pernafasan akibat jerebu tebal. Suasana tenang dan cerah ketika turun dari jeti berubah dengan asap jerebu mengelilingi bot kami ketika sedang memancing. Trip terpaksa di pendekkan serta merta bagi mengelakkan perkara tidak di ingini berlaku.


Oleh kerana mencari kelainan dan ilmu baru, kami banyak bertumpu di lokasi yang mudah dikunjungi. Walaupun agak terpencil dan kurang dikunjungi pemancing, ada juga hasil menarik yang berjaya dinaikkan. Sebagai contoh, hasil di atas  hanya diperolehi di kawasan Pulau Carey dan Pulau Indah. Ada banyak lokasi yang sebelum  ini kami pandang sebelah mata rupanya boleh memberikan hasil. Kajian selama beberapa minggu, meninjau hasil jaringan nelayan di pengkalan mengejutkan kami. Hasil yang di perolehi jauh lebih baik dari lokasi yang begitu jauh diluar dengan kos yang kurang. Tangkapan Gred A seperti Kurau, Tebal Pipi, Tetanda, Tirusan dan Siakap rupanya masih banyak di kawasan ini.

Selain dari laporan dan coretan trip yang telah dijalankankan, kami juga akan cuba sedaya upaya bagi menyalurkan pelbagai maklumat penting dan berguna untuk tatapan anda. Mungkin tidak sehebat surat khabar, buku ilmiah yang mahal atau seperti berita di televisen. Apa yang kami pasti ianya berguna dan berdasarkan segala pengalaman di lapangan. Sekiranya bertembung dengan kami di laut mahupun daratan, bertegurlah. Kadangkala bukan kami sombong tetapi untuk mengingat kesemua ahli trip yang pernah turun bersama kami rasanya tidak mungkin dapat kami ingat semuanya. 

Jangan lupa mengikuti perkembangan terkini blog kami yang tak seberapa ini. Mungkin ada banyak informasi yang berguna untuk anda. Selamat memancing!