Khamis, 27 Mac 2014

Rumah Ikan :)

Kerja-kerja melabuh tukun tayar telah berjaya diselesaikan tempoh hari. Ini bagi menambah lokasi sedia ada seperti yang telah dirancangkan sebelum ini. Idea untuk tukun tayar ini setelah beberapa kajian dijalankan berdasarkan maklumat rakan-rakan nelayan yang pernah menggunakan tukun jenis ini. Walau sebaik manapun tukun ini, masih ada keburukannya. Hanya Allah saja yang mampu membina binaan yang sempurna.

 Walaupun hanya tayar saja, bentuk masih perlu dikekalkan bagi menjadikan ianya berfungsi baik. Ukuran 2 x 2 kaki menyerupai tukun kiub yang telah di bina sebelum ini. Namun pemberat yang digunakan adalah batu saluran longkang. Bagi setiap 5 unit tukun, terdapat 1 pemberat ditengahnya. Kedudukan batu juga mesti berada mencecah tanah, supaya ia tidak hanyut dibawa arus.

 Kerja menyambung dan membentuk dilakukan di atas bot bagi menjimatkan ruang dan memudahkan pengangkutan. Kabel pengetat plastik digunakan bagi menyambung kedudukan tayar.

 Kerja ini memang sukar walaupun nampaknya begitu mudah. Dari kerja memungut tayar di kedai, membawa masuk ke bot, memang meletihkan. Pemberat pula terpaksa diangkat berdua bagi mengelakkan kecederaan berlaku.

 Kerja mengikat lebih mudah jika menggunakan kabel pengikat plastik ini. Walaupun begitu, jika tersilap langkah dan cara, tangan pasti terluka. Hampir setiap kali kerja ini dilakukan, ada saja luka kecil yang berlaku. Setiap ikatan menggunakan 3 kabel bagi menguatkan ikatan. Kabel pertama menyambung, kabel kedua mengetat dan kabel ketiga mengukuhkan ikatan. Ia perlu dibuat berperingkat supaya lebih mudah.

Akhirnya setelah 2 jam berusaha, tukun berjaya disiapkan. Ranting pokok bakau digunakan sebagai langkah terakhir menarik perhatian ikan. Tapak tukun di lapik dengan papan supaya mudah untuk di labuh. Oleh kerana terlalu berat tukun ini tidak dapat diangkat sepenuhnya. Sedikit demi sedikit akhirnya berjaya di turunkan ke air. Cara membuang tukun ini juga memerlukan kemahiran supaya kedudukan jatuhnya adalah betul dan tepat. Alhamdulillah, tukun yang yang dibina dengan begitu kasih sayang ini akhirnya selamat diturunkan.