Rabu, 2 Oktober 2013

Trip 2/10 Memburu Tetanda Muara

Ikan Tetanda merupakan spesis biasa kepada pemancing muara khususnya di kawasan PortKlang. Spesis yang bergerak mengikut arus pasang biasanya memasuki sungai untuk mencari makanan di kawasan paya bakau. Udang, ikan kecil dan ketam kecil adalah makanan yang biasa ditemui di dalam perutnya. Pemancing yang sudah pun mengetahui tabiat pemakanan di paya bakau, biasanya menanti gerombolan ikan ini samada di muara atau sungai-sungai kecil ketika air pasang.

Pada trip suka-suka kali ini, saya dan Acid meninjau beberapa lokasi di muara sungai sekitar Pulau Ketam dan laluannya. Walaupun agak sukar mendapatkan udang hidup, kami berusaha menjala di satu lokasi anak sungai dalam perjalanan ke sana. Air yang sudah mula masuk ke sungai, membawa bersama udang dan anak ikan Belanak di samping Cikbun yang begitu banyak sekali. Kebanyakan udang ketika ini berada di tebing saja. Oleh yang demikian, jala terpaksa ditebar dan ditarik dari tengah ke tepi bagi mengelakkan udang melepaskan diri.


Setelah mengumpul udang hampir 70 ekor, kami meneruskan perjalanan ke lokasi memancing. Ketika sampai, kelihatan banyak bot berada di kawasan sangkar. Keadaan air cetek dan jernih dengan arus perlahan menyebabkan ikan kurang aktif dan semua bot yang berlabuh di muara meninggalkan kami yang baru saja sampai. Tidak sampai 5 minit umpan dilabuh, seekor Sagai kecil menjadi habuan kami, hasil kerja tangan Acid dengan set joran kecil.

 
Sagai kalau tak silap saya..Kecil tapi larian yang cukup mengasyikkan.

Daun Baru dan Tetanda serentak dengan 2 joran.

Arus mula bergerak laju ke dalam sungai dan ikan mula rancak meragut umpan. 2 ekor Daun baru yang bersaiz besar berjaya dinaikkan ketika ini. Lontaran umpan udang kecil yang di cangkuk terus pada matakail nampaknya membuahkan hasil. Walaupun hanya lontaran berdekatan sampan sahaja, Ikan Tanda yang dicari mula menunjukkan diri.

Tetanda saiz ini memang seronok jika menggunakan joran sederhana. Silap-silap ada joran terbang ke laut jika terleka.

Daun Baru yang hampir menerbangkan joran saya.

Tetuka yang banyak mendiami kawasan berpasir, mudah di dapati di sini dangan umpan udang kupas.

Keseluruhan hasil yang boleh dibanggakan hari ini.

Ikan mula berkurangan setelah air tinggi dan mula surut. Biasanya ikan akan mula rancak kembali ketika air mula keluar dari sungai. Namun ketiadaan lampu memaksa kami pulang ke pengkalan. Di kawasan Pulau Ketam agak merbahaya ketika hari mula gelap kerana pergerakan bot-bot besar yang melalui kawasan tersebut. Kami pulang ke pengkalan pada jam 6 petang.