Selasa, 7 Mac 2023

Trip jigging Port Klang, antara semangat dan kegigihan!

Teknik Jiging atau umpan tiruan besi berwarna, memang tidak asing bagi pemancing yang meminatinya. Seperti di kawasan lain, Port Klang juga tidak terlepas dari peminat jigging. Cuma cabarannya agak keras dan hanya yang kuat semangat sahaja biasanya berjaya.

Adakalanya teknik jigging sukar mengaburi mata penghuni di sini. Kesudahannya, teknik umpan juga yang berhasil. Terpulang kepada pemancing sendiri untuk mencuba teknik mana yang sesuai.

Jika rajin dan bernasib baik, ada hasil yang bakal dibawa naik. 

GT yg berjaya ditipu dengan jig 150 gram hanya dengan 1 mata.

Kebanyakan Jenahak disini sentiasa bergerak dari satu lubang ke lubang lain seiring dengan pergerakan air pasang dan surut. Kunci kepada kejayaan trip banyak bergantung kepada kecekapan membaca air dan kecepatan pergerakan bot dari satu lubuk ke lubuk yang lain. 

Sering berlaku, lubuk yang dikunjungi ketika air surut, langsung tidak berisi. Namun ketika dikunjungi semula ketika air pasang, jatuh saja umpan ke dasar, sepantas kilat joran melentur! Ini menunjukkan bahawa pemilihan waktu sesuai sangat penting. 


Pemilihan umpan juga mempengaruhi hasil yang bakal diperolehi. Kesukaran mendapatkan umpan ini kadangkala membunuh semangat. Jika bernasib baik, udang kolam adalah pilihan terakhir. Ramai mengatakan bahawa ia tidak relevan dan akan kecundang. Namun bagi kami, semuanya sekadar mitos sahaja. Sudah kerap teori ini kami sangkal dan hasilnya diluar jagkaan. 

Kerap belajar dan mencuba, adalah lebih baik dari sekadar mendengar sahaja. Kepada yang ingin mencuba bersama kami, pastikan anda tidak gentar, kerana hanya yang tidak takut gagal boleh berjaya. Selamat memancing!