Isnin, 20 Januari 2020

Pulau Ketam masih berbisa!

Sejak kebelakangan ini, banyak trip jigging ke luar kawasan selat lebih kerap dibuat berbanding trip selat. Namun Pulau Ketam tetap dihati! Kunjungan trip terakhir air mati kali ini adalah ke sangkar ikan dan kawasan selat. Oleh kerana bekalan umpan kali ini ditempah dari Pulau Indah, laluan biasa telah berubah ke Sg Chandong dan keluar ke  LBT StarCruise. Laluan sungai kecil dipenuhi beberapa halangan kecil termasuklah jaring yang melintang di tengah sungai. Puas dielak, namun ada juga yang tersangkut di kipas enjin. Gara-gara jaring yang dipasang tidak mempunyai penanda. Ada antara jaring ini melintang ditengah sungai tanpa pelampung dibahagian tengah, menyebabkan ia sukar dilihat pemandu bot dan akhirnya dilanggar dengan laju. Kami bernasib baik kerana jaring tersebut tidak merosakkan kipas kami.


Selepas keluar dari sungai, kami terus singgah di lokasi yang sudah lama tidak dikunjungi, Pken 25 yang penuh dengan karang kecil. Memandangkan waktu ini sesuai, kami berlabuh di satu spot karang tinggi yang dulunya mempunyai pokok besar dibawah. Selain penanda lokasi, sonar juga digunakan bagi memudahkan kerja. Maklum lah, biasanya air mati yang jernih amat sukar mengesan kedudukan ikan berkumpul jika hanya menggunakan penanda lokasi sahaja. Bukan lah jaminan ikan berada di bawah, sekurang-kurangnya kerja lebih mudah dengan mengetahui lokasi dituju berpenghuni atau pun tidak.


Kebanyakan ikan hari ini, berkumpul di lokasi berkarang dan sangkut memang tidak dapat dielakkan. Tetapi hasilnya sangat memuaskan hati dengan syarat kita tahu piantannya dan umpan terbaik di situ. Spesis Ikan Tetanda dan Kurau berjaya dibawa naik ahli trip, hasil kerajinan dan kesabaran mereka.


Ketika arus mula berhenti, kami menukar haluan ke Pulau Ketam. Berdasarkan kiraan, waktu memancing di kawasan ini hanya sehingga ke jam 4 petang sahaja. Selepas itu arus akan berhenti dan kami perlu keluar dari kawasan sangkar sebelum jam 6 petang. Hasilnya beberapa tangkapan baik berjaya dibawa naik dalam tempoh tersebut. Antaranya Ikan Kurau, Si Mata Hijau dan Pari Daun.


Hasil terakhir adalah Si Mata Biru yang comel di kawasan spot dalam penuh dengan reba dibawah. Oleh kerana air sudah tidak berarus, kami bergerak pulang pada jam 6.30 petang ke pengkalan.