Khamis, 16 November 2017

Tukun Tayar 5

Sekali lagi kami turun melepaskan tukun di satu lokasi lama untuk menambah unit sedia ada. Kali ini waktu siang menjadi pilihan kerana masa yang ada tidak mencukupi. Ketika diturunkan, ada juga bot yang lalu lalang menyedari kawasan ini mempunyai tukun di bawah. Tak mengapa, yang penting ia terlindung dan jika terjumpa, kutiplah hasilnya dengan syarat kawasan ini dipelihara. Mungkin ada yang tidak senang dengan usaha ini, namun kami pasti suatu hari nanti mereka akan faham.

Kerja memunggah tayar dilakukan ketika hujan di pengkalan. Ketika ini saya masih lagi bersendirian sebelum Sharil sampai membantu. Oleh kerana air agak laju, kerja terpaksa dilakukan dengan cepat sebanyak mana yang mampu sebelum air surut.

 Kerja tertangguh semula apabila hujan bertambah lebat. Hujan mula berhenti menjelang tengahari dan penghantaran ke lokasi dibuat dengan berhati-hati memandangkan bot sarat dengan bebanan. Cabel Tie digunakan sebagai ganti kepada tali supaya kerja mengikat dapat dilakukan dengan cepat. Manakala pemberat perlu diletakkan supaya ia tidak hanyut dibawa arus deras. Tayar ini akan mempunyai gelembung udara ketika dilepaskan ke dalam air. ia perlu di pusing terbalikkan dan diletakkan pemberat.

Setiap satu unit mengandungi 3 x 3 kiub tayar yang disambung menjadi satu unit besar. Hasilnya, 3 unit besar berjaya dibuat dan dilabuh di dalam satu ikatan. Harapan kami tukun ini boleh mendatangkan hasil dalam 3 tahun akan datang dan berdasarkan tukun yang lalu di labuh di kawasan sama, tukun ini bakal memberi rumah kepada ikan Kerapu Bintik. Kepada yang berminat untuk bekerjasama menambah tapak-tapak tukun sedia ada, dengan niat baik dan fikiran terbuka, boleh menghubungi kami. Alangkah baiknya jika ini berlaku. Sungguh pun dengan hanya 1 kiub sekali buang, ianya akan tetap berguna kemudian hari. Jika 1 bot melabuhkan 1 kiub sebulan, 10 bot sudah berapa banyak? Sepanjang kawasan ini pasti dipenuhi tukun dan memberi hasil kepada pemancing yang lain. Bukan kah itu sesuatu baik??