Khamis, 23 November 2017

Trip cari lauk air besar

Cuaca hujan pada sebelah pagi memang agak membimbangkan kami. Bersama hujan, angin juga agak kuat merentasi kawasan Port Klang ketika ini. Yang baiknya, angin bertiup selari dengan arus surut sehingga jam 3 petang. Ini memudahkan trip memancing kami pada hari ini. Keadaan air yang masih besar sekitar 4.5 memang masih laju dan ia sudah dijangka. Pada kami, ia tidak mendatangkan masalah asalkan ketinggian air tidak melebihi paras tersebut. Terdapat beberapa lokasi yang sesuai memancing dengan syarat cuaca dan umpan perlu tepat.

 Selesai mencari umpan di lokasi biasa, kami terus ke lokasi pertama. Umpan ikan yang kami guna memang sesuai memandangkan ia kurang mendapat gangguan ikan kecil. Potensi ikan sasaran yang dicari lebih tinggi dan paling penting kesabaran yang tinggi.

 Selama sejam lebih berlabuh, banyak batu ladung dan perambut kami korbankan di sini. Namun hasil yang diperolehi agak berbaloi dengan halangan yang ada. Seekor Temerih yang bersusah payah ditarik keluar dari reba akhirnya naik ke bot. Begitu juga dengan 2 ekor Ikan Sembilang bersaiz sederhana dengan umpan yang sama, Beliak mata potong.

 Setelah air mula laju dan keruh, kami bergerak ke lokasi kedua yang mana hanya membuahkan hasil seekor Sesirat. Oleh kerana kurang sesuai, kami bergerak ke lokasi Tukun Longkang yang baru kami bina. Berlabuh setengah jam, dengan jaring jaring di kiri kanan laluan, salah satu joran kami diseret ikan besar. Oleh kerana tali hampir habis keluar dan joran kecil, sauh terpaksa dilepaskan.

 Selepas hampir 15 minit, ikan yang kami sangka kecil rupanya seekor Pari Rimau seberat 12kg. Nasib baik perambut besar yang digunakan, jika tidak sudah pasti ikan menang kali ini. Kawasan ini memang terdapat byk spesis mahal sejak diletakkan rumah baru. Walaupun masih baru dan kurang 5 bulan, ia sudah mendatangkan hasil.

Hanya Gelama, Duri dan Yu Pasir berjaya kami kumpul hingga air mula bergerak pasang. Ikan Yu Pasir sedap di masak kari. Caranya, anda jirus dengan air panas sehingga kulit kasarnya tanggal. Eboi yang sudah biasa, jarang membuang kembali ikan ini ke laut. Rasanya sama seperti ikan Pari. Setelah air mula bergerak, kami singgah semula ke lokasi pertama dan hasilnya, seekor Kurau berjaya dibawa naik dengan joran kecil. Rezki, tak siapa yang dapat menjangka. Jam 6.30 ptg, angin dan hujan mula melanda dan kami pulang ke pengkalan.