Selasa, 5 September 2017

Trip Jigging, Jig Mikro pilihan kami..

Mencari kaedah sesuai untuk memancing dalam kawasan tertentu bukan satu kerja mudah. Banyak halangan dan belanja perlu dilaburkan bagi setiap trip percubaan sebagai ujian dan pembelajaran untuk masa akan datang. Salah satunya, teknik mikro jig yang kami cuba ketengahkan. Kebanyakan teknik yang digunakan di sini lebih kepada slow jig sekitar 200 ke 300 gram. Mengapa kami memilih jig mikro sedangkan sudah ada teknik slow jig yang digunakan? Jawapannya mudah, ia ringan, kurang tenaga dan dapat digunakan dengan harga yang murah.

Set sekitar bawah rm500 saja sudah boleh digunakan. Set yang saya guna hanya rm180 untuk joran PE 0.8-1 dan rm260 untuk mesin kecil ratio 5:2:1 dan 6:2:1. Kelebihan bagi yang menggunakan set lebih mahal kerana ia menjimatkan tenaga.

Biasa kita mendengar teknik mikro jig hanya popular di kawasan luar Selangor seperti Port Dikson, Johor dan Perak. Kemungkinan stok ikan permukaan yang banyak memudahkan cara ia digunakan di sana. Tidak seperti di sini, spesis yang mendominasi kawasan dasarnya hanya Jenahak sahaja. Manakala spesis permukaan dan separuh air seperti Tenggiri, Senangin, Talang dan GT, amat kurang sekali. Begitu juga spesis Kerapu besar yang biasa di panggil "Tong gas", hanya terdapat jauh di kawasan sepadan negara jiran.
 
 Antara bukti yang jig kami menyapu dasar..

  Tengiri pertama yang tak pernah kami naikkan sebelum ini..

 Trip cuba dan belajar kali ini disertai Saya, AbulAsh, Sharil dan Jemik(komando_sg) setelah lama tidak turun. Seorang lagi Wakrin dari grup pelanggan setia kami, sudah beberapa kali turun hampa dengan cuaca buruk, kali ini dapat lah merasa di cuaca baik.

 Ikan Gelama..

 Bebolos pun sambar jig..

 Tujuan kali ini adalah belajar dan pergi lebih jauh dari lokasi yang biasa. Berdasarkan ramalan cuaca yang baik selama 2 hari, kami, merasakan ini adalah peluang baik mengumpul spot dan mencuba di kawasan lain yang tidak dapat dicapai sebelum ini. Malangnya, tidak semua lokasi yang dirancang berjaya dicapai. Sekitar 4-6 spot saja sehari.

 Sorang dapat sekor..

 Senangin dan Gubal sekitar 500gram - 3kg kerap dinaikkan di kawasan ini. Ada waktu-waktunya ia banyak berada berhampiran dasar. Terdapat sejenis jig yang kerap berhasil untuk spesis ini. Cara paling mudah mengesan kehadiran ikan ini, anda perlu peka dengan bunyi sambaran anak ikan dipermukaan air. Jika ada sambaran dipermukaan, peluang untuk menaikkan spesis ini agak tinggi.

 Spesis yang kerap menyambar ketika jig ditarik naik atau ketika turun hampir ke dasar kerap kami perolehi di kawasan yang mempunyai olak air. Bukti menunjukkan ikan ini mencari anak ikan di kawasan tersebut.

 Yang ini bukan ikan Merah tetapi Mentimun kata AbulAsh..

Banyak lagi yang perlu dipelajari dan di praktikkan, memandangkan masa dan cuaca yang singkat, kebanyakan trip berakhir sekitar jam 4 kerana angin yang mula melanda kawasan ini. Masa belajar selama 2 hari, tamat untuk kali ini. Waktu sesuai untuk trip jigging seperti ini hanya ketika air perlahan dan jernih saja. Tidak ada pilihan lain sekiranya cuaca buruk melanda. Besar dan banyak mana pun hasil, keselamatan adalah lebih penting!