Selasa, 19 Januari 2016

Ops Suluh..Sangkar Pulau Ketam, masih berisi jika tahu di mana lokasi sesuai..

Pada masa kini terdapat banyak bot pemancing yang berlegar di kawasan sangkar ikan Pulau Ketam. Lebih-lebih lagi ketika hujung minggu sewaktu air cantik. Tidak semua bot-bot ini akan pulang membawa hasil lumayan. Penggunaan umpan sesuai dan tepat boleh membantu disamping mengetahui sedikit maklumat penting lokasi memancing anda. Semua pemandu pancing tau akan hal ini, namun tidak semua mampu merungkai rahsianya nya termasuklah saya sendiri.

Lokasi mencari Gelama..

Harini saya menggunakan bot kecil supaya kerja mencari maklumat tidak dapat dikesan rakan-rakan yang biasa melihat bot saya. Jimat minyak tetapi lambat dan ruang terhad. Sakit tangan memulas pendikit dek kerana lama sangat nak sampai ke lokasi. 

Ikan Merah yang saya dapat dengan umpan Perumpun..

Minggu ini ketika tiada trip, saya turun berseorangan meninjau kawasan berpotensi bagi menambah kemahiran sedia ada dengan kemahiran yang baru. Lokasi sasaran adalah sekitar sangkar yang tidak pernah saya kunjungi sebelum ini. Seperti biasa, kadangkala kita akan terlepas pandang dan ulangkaji adalah cara terbaik untuk belajar.


Di samping itu, "lampu suluh" yang saya bawa banyak membantu dalam ops kali ini. Hampir sepanjang perjalanan saya meninjau kedalaman air dan permukaan yang berada di bawah. Beberapa lokasi yang saya suluh ada reba-reba bersaiz 1/2 hingga 1.5 meter tinggi. Yang menghairankan tiada imej ikan kelihatan. Jika dihujung sauh sangkar pula lain halnya, imej ikan dikesan pada bahagian atas tali yang menghampiri hujung sauh. Kemungkinan besar, ikan ini memagut teritip atau lumut pada tali sauh tersebut.


Kemahiran mentafsir imej pada "lampu Suluh" juga memang sangat diperlukan dan sentiasa diperbaiki. Mana satu anak ikan, ikan besar, sampah, reba, karang, alur, tebing, beting dan sebagainya untuk mengelakan kita terkeliru ketika memproses maklumat tadi. Untuk pengetahuan anda, imej amat sukar di tafsir ketika arus laju dan air keruh tetapi mudah ketika air jernih dan arus perlahan. Siap sedia dengan GPS supaya mudah menanda lokasi yang berpotensi. Ada kemungkinan imej tadi tidak akan kelihatan apabila anda berpatah balik semula kerana tidak berada pada laluan yang sama. Pemilihan "Lampu suluh" yang sesuai juga penting bagi mengelakkan anda tertipu dengan pelbagai jenis yang dijual di luar sana.


Umpan yang saya bawa kali ini hanya Perumpun dan Udang hidup saja memandangkan hanya itu yang ada. Udang hidup lebih mendapat perhatian kali ini dengan hasil Tetanda yang berjaya dinaikkan. Perumpun hanya sekadar Gelama yang sebahagiannya saya jadikan umpan semula. Kebanyakan Tetanda yang saya perolehi berada di kawasan lapang. Udang yang saya cangkuk pada hujung segmen ekornya lebih berkesan menarik perhatian. Tiada satu pun yang rabut dari matakail dengan syarat perambut sekecil 40 paun dan mata kecil yang mudah ditelan.

Oleh kerana air telah hampir surut sepenuhnya sekitar jam 6 petang, dan udang hidup telah habis, saya berpatah balik untuk mencari Semilang di lubuk kecemasan. Lokasi sekitar Sarang Lang memang terdapat banyak spesis ini ketika air mati. Saiz nya juga kadangkala mencecah 1.5kg dan lebih dari seekor pada tiap lokasi. Lokasi ini juga berdekatan laluan kapal keluar masuk menghala ke Pelabuhan utara. Biar saya kongsikan sedikit rahsianya. Umpan paling berkesan di sini hanyalah udang mati. Udang pasar adalah yang terbaik dan anda perlu kupas sedikit kulitnya. Bau udang ini akan lebih cepat dikesan berbanding udang hidup. Namun cabaran terbesar adalah arus surutnya yang deras. Saya sendiri ketika ini menggunakan batu saiz 9! Lokasi ini hanya boleh dikunjungi ketika air mati saja.

Pada yang menggunakan tali halus, ini satu kelebihan kerana tali halus memotong air dan ringan berbanding tali kasar yang mudah dibawa arus. Ikan Duri juga kerap mengganggu umpan namun boleh kita kenali dengan gaya tariknya yang berbeza. Jika mematuk ikan Duri, jika tariknya kuat hingga joran melendut, itu Semilang. Bagi yang tidak sayang dengan joran, boleh lah letakkannya sesuka hati tanpa perhatian. Saya jamin pasti jadi tukun!

Sebelum gelap, 3 ekor Semilang berjaya saya bawa naik sebelum matahari menghilang. Pendek kata lubuk kecemasan ini memang sentiasa berjasa ketika diperlukan dan jarang ianya kosong. Jika kena dengan umpannya, di sini juga anda boleh menguji kekuatan tali, set joran dan tenaga dengan umpan yang tepat. Saya pasti anda terkejut dengan apa yang anda bakal perolehi..