Bot telah disewa sehari lebih awal 30hp 21kaki berharga Rm150, siap bumbung memang selesa. Kalau air mati tak mungkin dapat ni. Ketika ini air besar 0.5 surut memang laju dan deras. Namun di atas teori dan pengalaman masa lepas, kami yakin tangkapan pasti ada, cuma kami tidak mengharapkan tangkapan besar. Umpan udang hidup 150 ekor di beli dari Kg Sawah Jugra dengan harga 20sen seekor memang murah dan berbaloi. Saiz udang gred B panjang 3 inci juga amat menepati citarasa kami. Mengapa kami katakan ia sesuai? Ia sesuai kerana udang saiz begini mudah di ditelan ikan dan mengelakkan pembaziran. Udang besar hanya sesuai ketika air mati untuk hasil yang besar. Ini cuma sekadar teori kami. Untuk info rakan pemancing yang lain, bekalan udang di kolam tersebut akan berakhir pada bulan Ogos.
Ketika mula bertolak, air pasang berada pada tahap maksima, hingga jambatan yang merintangi sungai Chandung tidak dapat di lalui. Setelah di timbang tara, kami mengambil keputusan untuk mudik ke hulu sungai menghala ke Telok Gong sekali gus melintasi kesemua lokasi lubuk tersebut. Dengan kata lain, kami akan membuat pusingan U mengelilingi pulau hanya dengan 1 tangki minyak 25 liter. Ini tidak mustahil kerana arus yang bergerak laju akan menjimatkan bekalan minyak kami. Teori ini terbukti di akhir trip, bilamana baki myk yang tinggal adalah 1/3 tangki.
Laluan sungai yang kecil dan sunyi dikelilingi pokok bakau tidak pernah kami lalui sebelum ini kelihatan agak asing. Namun tidak bagi saya, kerana laluan ini memang ada jalan keluarnya. Salah seorang pemancing Acid, tertarik untuk mencuba troling, namun tidak berhasil kerana rapala yang digunakan kurang sesuai. Setelah keluar dari laluan kecil, kami menuju ke selat mencari laluan air hijau di tengah. Ketika ini air mula perlahan, air balas surut mula tenang. Setelah lokasi di kenalpasti, sauh diturunkan pada kedalaman kurang 10 meter.
Percubaan Acid untuk menunda gewang, gagal. Gewang yang digunakan kurang sesuai untuk menunda.
Kurang dari 3 minit, seekor Gelama Pisang berjaya dinaikkan. Komando sungai mengistiharkan kawasan ini berisi. Kurang 1/2 jam, 9 ekor Gelama Pisang berjaya di bawa naik. Rata-rata saiznya agak besar. Agak mengejutkan kerana lokasi ini adalah lokasi hitam pot menjaring, yang dikatakan "tak ada ikan" dan amat jarang di kunjungi pemancing termasuk saya. Mungkin teori ini boleh digunapakai. Kumpulan ikan ini yang dibawa arus deras, menyinggah di kawasan air hijau ketika air tinggi. Di kawasan tebing selat ini airnya agak keruh mungkin akibat lumpur tebal yang dibawa arus deras. Umpan udang segar mati amat berkesan, namun kehadiran ikan duri menandakan air sudah mula keluar. Beberapa helai plastik sampah yang menghuni dasar juga dinaikkan. Setelah haluan bot berubah, kami berpindah ke lokasi kedua di hujung Pulau Babi.
Ketika ini keadaan arus sudah mulai deras dan air mula surut. Kami berlabuh di atas kawasan beting cetek dan mula melabuh joran masing-masing. Lontaran pertama komando sungai di sambut seekor Sembilang bersaiz sederhana. Kawasan alur selat, laluan ikan keluar ini memang sesuai untuk memancing. Tak sempat meletak joran, umpan dah pun mengena. Kami berbalas menaikkan ikan Duri dan Gelama yang rata-rata seekor bagi setiap 30 saat! Meletihkan! Apa lagi jika ikan Duri bersaiz kecil yang tersangkut di hujung kail. Kehadiran ikan ini yang begitu banyaknya tidak menghairankan saya. Ikan Duri amat tidak di sukai pemancing dan biasanya dilepaskan semula. Peluang untuk ia membiak adalah 100% dan memenuhi sungai.
Umpan Perumpun yang dibawa juga tidak begitu banyak dan habis di lokasi ini. Kami berpindah ke tiang Jambatan Pulau Indah dan melabuh sauh. Keadaan arus laju dan sampah hanyut menyusahkan untuk memancing. Kami berpindah ke kawasan Muara sungai Labuhan Gurap berhadapan dengan Tjg Harapan. Kami berlabuh di muara sungai yang arusnya agak perlahan tetapi jernih dan cetek.
Umpan di labuh dan tangkapan pertama di bawa naik ialah Gelama Pisang saiz yang sama seperti di lubuk pertama. Tangkapan kedua Tetanda, berjaya dibawa naik Acid menggunakan joran udang galah :) Meliut-liut melentuk-lentuk di buatnya. Komando sungai yang beriya-iya merentap joran, dipermainkan ikan Gelama Tora bersaiz 3 jari. Apa tidaknya, joran yang terangkat-angkat desentap ikan banyak yang tidak mengena. Agak banyak umpan kami hilang dilokasi ini. Ikan kecil yang begitu cekap mencuri umpan menewaskan kami. Agak terhibur dengan keadaan tersebut, saya memaksa mereka berhenti dan berpindah ke lokasi ke empat iaitu Lubang 1 yang jarak nya tidak sampai 200 meter kehadapan.
Selepas sauh di labuh, umpan dilontar, cetek! Belum sempat mengeluh dan meletak joran, terasa sentapan keras agak jauh dari bot. Dari jauh ikan berenang ke permukaan begitu laju melawan arus kehadapan bot dan saya menjangkakan Senangin bersaiz besar. Jangkaan saya meleset bila tangkapan dibawa naik. Ebek bersaiz Kecil! Kami bergilir-gilir bergambar untuk kenangan. Secara sepontan saya mengatakan bahawa ini adalah lubuk yang di cari dan joran Komando sungai pula direntap. Seekor tetanda berjaya di bawa naik. Beberapa ekor gelama, tetanda kecil dan tetuka juga berjaya dinaikkan. Keadaan ini tidak berlanjutan lama bila arus mula berubah.
Namun trip ini mula hampa bila air laju mula tiba memaksa kami berpindah ke StarCruise dan hanya tetuka, duri dan gelama berjaya dinaikkan. Sehinggalah air penuh menutupi jambatan menghalang laluan ke jeti. Terpaksa menunggu setengah jam untuk air surut, kemudian pulang ke jeti. Tiada pembaziran umpan pada trip kali ini. Semua udang habis digunakan :)
Hasil keseluruhan pada trip kali ini..
Teori lubuk pada kali ini ialah, jika air besar dan surut habis, kebanyakan ikan akan bermain dikawasan dalam. Ini memudahkan anda untuk memancing kerana ikan bertumpu hanya setempat. Tetapi hanya ketika air surut. Jika mula pasang dan arus laju, kawasan ini langsung tidak sesuai untuk memancing.