Sabtu, 30 Ogos 2025

Kolam Tilapia Merah diserang Memerang!!

 Membela ikan dalam kolam bukan lah kepakaran saya. Disebabkan saya lihat ia satu keperluan, akhirnya saya buat juga. Ini lah resmi pemancing tegar, dah duduk darat pun masih nak lihat ikan.


Ikan yg saya bela adalah ikan Tilapia Merah. Tujuan sebenarnya untuk lauk kecemasan jika diperlukan. Bersedia untuk sebarang kemungkinan, lebih baik ada dari langsung tidak ada. Ikan ni saya bela dari kecil hingga besar dan saya biak baka supaya lebih berkualiti. Benih ikan ni agak mahal sebenarnya dan ada harga. Cuma nak bela tu masalah sebab perlu kos makanan dan lain- lain.


Setelah setahun setengah berjalan, muncul masalah yg tidak dijangka. Kolam ikan diserang Memerang!



Saya tidak menyangka bahawa binatang ini akan sampai ke kawasan rumah. Lokasi rumah saya dikelilingi perumahan, jalan raya dan kebun sawit. Habis ikan dikolam ini dikerjakan! Dari berpuluh ekor baka yg saya simpan selama 2 tahun, hanya tinggal kurang 20 ekor induk saja. Itu pun yg kecil-kecil. Mujur lah masih ada anak benih tersisa yg terselamat dari serangan ini.


Kolam ini hanya ditepi rumah dan tidak berpagar. Memang mudah lah ia masuk, umpama masuk shoping kompleks tanpa bayar bil. Serangan ini berlaku pada waktu subuh sekitar jam 3 hingga 6 pagi, berselang seli selama 3 malam dan hanya disedari ketika sudah berakhir. Bunyi air kolam berkocak pelik menyebabkan kami bergegas keluar dan memeriksa kolam. Buka saja tingkap, melompat keluar si memerang tersebut. Kejadian pertama 2 ekor, saiz anjing. Kejadian kedua seekor kecil sebesar musang dan kejadian ketiga saiz kecil hampir berjaya ditangkap.

Sisa muntah dibawah pokok dan di bawah rumah.

Sempat ia bermain berdekatan menanda kawasan.

Oleh kerana itu, pagar jaring dibina bagi menyelamatkan baki ikan yg ada. Selama 2 hari bekerja, akhirnya pagar jaring siap dibina. Kesilapan pada diri sendiri yang tak sepatutnya berlaku iaitu kurangnya Penjagaan Keselamatan.

Jika kita mempunyai aset dan aset tersebut dirasakan berharga, pastikan ia dilindungi dengan sebaiknya. Ambil langkah perlu dan sentiasa bersedia untuk sebarang kemungkinan walaupun diluar jangkaan, kerana apabila sudah berlaku, ia mungkin sudah terlambat. Lindungi usaha anda!

Trip Kerja Air

 Masih ada kerja-kerja ringan dilaut yg perlu dilaksanakan. Kali ini mengambil gambar dan contoh air. Saya menggunakan bot rakan berikutan bot saya tidak sesuai digunakan. 

Bot dilengkapi 2 enjin dan tandas,  memudahkan kerja dan lebih selesa. 


Lokasi yg dituju agak jauh ketengah di kawasan bergelora dengan cuaca yg kurang baik. Buat kerja dalam cuaca buruk memang agak perit. Contoh air yg diambil terpaksa dibuat berhati-hati dan cermat bagi mengelakkan kecederaan.


Kerja berakhir pada jam 3 petang dan pulang ke pengkalan pada jam 4.30 petang. Bot ini juga digunakan untuk trip memancing 24 jam. Kepada yang berminat boleh lah menghubungi saya. 

Trip Selat bersama orang lama..

Trip memancing yang semakin berkurangan menyebabkan saya jarang turun ke laut. Kini hanya tinggal 1 bot yg digunakan. Bot lama saya bawa balik ke rumah dan ada yg telah dijual, berikutan kos selengara yg semakin tinggi. Semua perlu dibayar, namun pendapatan semakin berkurang. 

Pari daun yg comel..

Walaupun begitu masih ada pelanggan tetap lama yg masih sudi berkunjung memancing bersama saya. Walaupun hasil tangkapan tidak sebaik dahulu, masih ada sedikit hasil yg berjaya dibawa balik.


Oleh kerana arus perlahan dan air jernih ketika ini, saya memilih untuk berlabuh di atas tapak tukun yg saya buat lama dahulu. 

Masih ada rupanya penghuni disini. 

Spot ini dipenuhi sangkut berpanjangan. Ada saja umpan yg tersangkut dibawah. Kadangkala ikan makan pun terus sangkut. Tetapi kebanyakan sangkutnya boleh lepas semula, lebih lagi jika masih ada ikannya. 


Ini biasa berlaku jika joran sudah lama tak digunakan. Tidak jadi masalah pada saya kerana barang gantian sentiasa saya bawa bersama. 

Ikan Gelama disini bersaiz agak besar dan jumlahnya banyak. 

Sesuatu yg kerap saya perasan, di spot ini sering terdapat Ikan Senangin bersaiz cantik. Ini membuktikan bahawa tukun yg dibina memang sesuai digunakan. 


Tetanda saiz kecil juga banyak di spot ini, cuma jumlahnya tidak lah banyak. 

Kadangkala seram juga bila melihat kapal lalu lalang hampir dengan bot kami. 


Trip diteruskan hingga ke sangkar Pulau Ketam, namun tak banyak hasil yg kami berjaya dinaikkan. Terima kasih kepada ahli trip yg masih sudi memancing bersama saya.