Sabtu, 17 Februari 2018

Sekadar Informasi, Ops Sahabat, tarik bot!

Selepas bot kami rosak di paloh 1 ketika trip jigging tempoh hari, sebuah lagi bot rakan kami pula menerima nasib sama di lokasi Buang Peluru. Aplikasi Whataps yang saya terima sekitar jam 2 petang. Oleh kerana saya berada di Banting dan tiada bantuan dari pihak lain, saya bergegas ke Port Klang untuk memberi bantuan.

 Sampai saja di pengkalan, bekalan minyak sudah disediakan dan pihak Maritim menghubungi saya bagi memberi lokasi sebenar dan keadaan cuaca, di mana bot tersebut bersauh. Dalam keadaan seperti ini, apa saja maklumat berkaitan memang perlu asalkan boleh membantu. Bertolak ke Pantai Aceh hanya berseorangan, sampai di muka selat sekitar jam 4 petang. 

 Air laut yang tenang mula mengganas apabila bot mula ke tengah. Apakan daya bot yang digunakan jenis lepap dan tidak mampu menempuh ombak kuat, namun dengan kemahiran yang ada, segala masalah dapat diselesaikan dengan IzinNya.. Saya sampai di lokasi bot bersauh sekitar jam 5.30 petang. Semua penumpang dipindahkan ke bot penarik. Hanya pemandu saja berada di bot yang ditunda untuk kerja mengemudi sepanjang masa di tunda.


 Sebelum bertolak, saya menghubungi pihak Maritim semula untuk makluman bahawa bot telah ditemui dan laluan balik ke pengkalan sebagai langkah terakhir. Nasib kami cukup baik apabila angin dan ombak bergerak dari laut ke darat. Ini memudahkan kerja menunda walaupun ada sedikit kesukaran. Bot berjaya sampai di pengkalan sekitar jam 9 malam.

Kepada rakan-rakan yang sering ke laut di kawasan ini, sekiranya berlaku kerosakan di kawasan luar persisir, ini adalah langkah yang perlu diambil segera!

1- Maklum kan pada pihak berwajib seperti Maritim. (03-31760643) atau (999)
2- Minta bantuan dari bot berdekatan.
3- Hubungi rakan terdekat di pengkalan.
4- Bersauh jika boleh supaya pergerakan anda perlahan. Jika tidak, gunakan sistem sauh hanyut           dengan tong.
5- Tanda koordinat setiap 20 minit supaya laluan anda hanyut boleh dijejak.
6- Catu semua makanan yang ada sebagai langkah berjaga-jaga.

 Sekiranya ditemui..

1- Pastikan tali penarik sekurangnya 10 meter panjang untuk elakkan bot berlanggar ketika ombak besar.
2- Buat ikatan V di transom belakang supaya tali berada di tengah.
3- Turunkan enjin dan jaga kemudi bot supaya seiring dengan bot yang menunda.
Pindahkan beban kepada bot penunda.

Pastikan bot penunda tau cara mengemudi ketika menunda dan pastikan kelajuan adalah sesuai dengan keadaan ombak. Sekadar informasi untuk anda!