Khamis, 25 Mei 2017

Tukun Muara, Longkang Konkrit

Impian kami membina tukun konkrit akhirnya terlaksana juga. Hasil perkongsian dana dan tenaga, 90 unit longkang konkrit berukuran 24 x 16, berjaya diperolehi pada bulan ini. Fasa pertama projek, telah pun berjaya diselesaikan selama 3 hari. Namun lokasi tapak masih dirahsiakan bagi mengelakkan gangguan sebelum ia berfungsi. Harapan kami, ianya akan berhasil.

 90 unit longkang ini kelihatan sedikit, tetapi memerlukan 7 trip dengan 2 buah bot untuk diselesaikan.

 Walaupun nampak kukuh, longkang konkrit ini mudah pecah sekiranya terhentak dalam kedudukan tertentu.

 Pada trip pertama, longkang ini terpaksa diangkat dari darat ke bot melalui jeti yang tinggi dan curam. Kesilapan membaca air mendatangkan kesusahan kepada kami untuk menyusun longkang ke dalam bot dengan jarak yang begitu jauh. Nasib baik lah kami mempunyai kereta sorong 2 roda buatan sendiri. Dari atas jeti, kayu gandar terpaksa digunakan untuk memikul longkang tadi masuk ke dalam bot. Oleh kerana bot sudah disediakan dan tidak mahu masa terbuang begitu saja, kerja tetap diteruskan.


 Setelah kerja menyusun selesai, kami bergerak ke lokasi. Setiap bot memerlukan sekurang-kurangnya seorang pembantu untuk bekerja. Setelah tiba di lokasi, bot akan di bersauh dan berada rapat, bagi memudahkan kerja melabuh tukun. Tukun yang berat ini terpaksa diturunkan perlahan-lahan sehingga ke dasar menggunakan tali. Kedudukan tukun perlu telangkup dalam bentuk A supaya ia lebih kukuh dan kurang tenggelam. 12 unit tukun berjaya diturunkan pada trip pertama 80% kejayaan. Bakinya jatuh ketika belum sempat mencecah dasar. Ini berlaku akibat dari arus deras di kawasan tersebut.


 Pada trip kedua pula sebanyak 13 unit tukun berjaya diturunkan di 2 lokasi berlainan. Kedudukan bot terpaksa diubah pada setiap 2 unit tukun yang diturunkan bagi mengelakkan bertindih dan pecah. Manakala setiap 1 spot, terdapat 5 ke 6 unit tukun yang di letakkan berdekatan. Cara ini dipikirkan sesuai untuk meluaskan jarak dari satu spot ke satu spot yang lain. Kedudukan ini membolehkan bot menukar lokasi beberapa kali hanya di dalam kawasan berdekatan.

Kerja menjadi mudah pada trip ketiga apabila kerja memunggah tukun hanya beberapa meter saja dari kawasan pengumpulan. Ini berlaku ketika air pasang tinggi pada hari tersebut. Namun, kerja menurunkan tukun masih tetap seperti biasa dan masih perlu menunggu air surut pada waktu malamnya. Kerja sukar ini berjaya diselesaikan dalam masa 3 hari dan unit tukun yang berjaya di turunkan adalah sebanyak 44 unit.