Isnin, 6 Jun 2016

Sekadar informasi, cat atau tidak?

 Teritip adalah masalah biasa pada bot samada kayu atau pun fiber di mana-mana saja kawasan air masin. Lebih lama bot berada di dalam air, lebih cepat teritip akan tumbuh dan membiak. Ia juga adalah punca bot lambat bergerak, tidak boleh laju dan kuat penggunaan minyaknya.

Cara terbaik mengatasi masalah ini, dengan menyapu cat anti teritip atau dipanggil AntiFouling. Penggunaan cat ini boleh mengurangkan pertumbuhan teritip dalam satu jangkamasa yang agak lama. Sekurang-kurangnya ia dapat mengurangkan kerja selenggara bot dan menjimatkan masa anda. 

Kerja membuang teritip perlu dibuat diatas pelantar yang dibina khas. Kedudukan bot yang lebih tinggi memudahkan kerja menggosok dan mengecat. Sekiranya sampan kecil sekitar 16-21 kaki, lebih mudah jika di terbalikkan memandangkan ia kecil dan ringan. Masalah cuma timbul pada bot melebihi 21 kaki dan mempunyai banyak aksesori untuk ditanggalkan. Ini memakan masa dan kerja akan menjadi lebih rumit dan cara terbaik adalah membina pelantar seperti ini.

Kerja membersih harus bermula ketika air mula surut supaya memudahkan kerja mencuci. Sisa yang dimaksudkan adalah teritip, lumut dan lumpur. Semua kotoran ini perlu di bersihkan supaya cat yang disapu akan melekap kuat pada permukaan bot. Penggunaan peralatan lain seperti WaterJet dan High Presure WaterPump biasanya lebih mudah dan efektif. Namun peralatan ini biasanya di dapati di Marina mewah yang mempunyai dok khas di darat.

 Selesai mencuci, permukaan dibiarkan kering seketika dan cat boleh la disapu selepas itu. Cat jenis ini mempunyai campuran kimia dan biasanya digunakan pada kapal-kapal besar. Cat ini di beli daripada rakan di pengkalan yang biasa menjualnya. Terdapat juga di dalam tin yang dijual di kedai menjual cat terpilih yang menjualnya. Apa yang saya tahu, cat ini tidak perlu dicampur dengan pencair tetapi terus saja disapu pada permukaan bot.

Sebarang lumut dan kotoran pada permukaan, akan menyebabkan cat tanggal dan tidak melekat ketika disapu. Hal ini berlaku pada bahagian bawah bot yang tidak sempurna bersih dan hasilnya, saya terpaksa mengulang semula kerja mencuci. Setelah bersih, barulah cat tadi melekap sepenuhnya.Anda tahu bahagian mana yang paling sukar? Bahagian lunas adalah yang paling sukar. Baik ketika proses membersih atau ketika mengecat. Memandangkan pelantar yang dibuat tidak tinggi, kerja membersih dan mengecat terpaksa dilakukan dengan menunduk di atas lumpur! Ada masanya terpaksa menungging dan sebagainya.

Kerja selama sehari akhirnya selesai ketika air mula pasang semula. Walaupun keletihan bukan kepalang, hasil kerja ini pasti membuahkan hasil. Mengapa perlu cat? Cat ini akan membantu menambah kelajuan bot di samping mengurangkan penggunaan minyak selama beberapa bulan. Ini akan mengurangkan beban pada enjin dan poket anda. Sekadar informasi untuk anda..