Ahad, 8 Julai 2018

Trip 7/7 Pari muara

Di kawasan muara dan selat kadangkala juga mampu memberi hasil baik jika kena dengan masa dan umpan yang digunakan. Hari ini trip 2 bot bersama Ijam dan rakan memang membuahkan hasil. Bertolak ke lokasi dengan umpan Udang Hidup dan Perumpun saja tetapi aktiviti apollo adalah wajib di setiap trip kami. Ini kerana kita tidak tahu umpan mana yang mungkin berhasil nanti.
Pada jam 9 pagi, kami terus ke lokasi dan aktiviti memancing agak rancak walaupun angin kencang melanda kawasan ini. Sebelum tengahari, banyak hasil berjaya dinaikkan. Antaranya Tetanda dan Pari di Pken 25.
Bolos juga tidak ketinggalan kali ini dan saiz memang agak besar. Kebanyakan hasil yang kami naikkan hanya menggunakan umpan Perumpun sarang. Untungnya kali ini, tiada kelibat ikan Duri dan jika ada pun hanya seekor dua. Gelama juga agak kurang jika dibandingkan dengan trip sebelum ini.
Sesekali ikan Yu Cicak juga memunculkan diri dan biasanya ia gemarkankan ikan Beliak mata yang dipotong kecil. Jika anda nak tahu, ini lah petanda kawasan Ikan Pari dan Beting keras. Jika kehadiran ikan ini dikesan dilokasi, harapan untuk mencari spesis Pari memang tinggi.

Tekaan kami tepat pada spot ke 2 dan sasaran yang dicari mula muncul. Salah satu joran milik anggota trip ditarik spesis besar. Umpan ikan Beliak mata seekor.

Ternyata tekaan kami tepat dan seekor Pari Rimau berjaya kami naikkan. Agak sukar menaikkan ikan seperti ini dengan joran kecil. Lebih-lebih lagi jika arus dan angin kuat melawan arus. Perlu berhati-hati dan sabar yang cukup tinggi.
Ikan Tetanda dan Semilang juga dengan umpan Perumpun di lokasi yang sama.
Gelama Bintik yang berjaya dinaikan ahli trip bot kedua di lokasi Tanjung Bakau. Di lokasi ini, Seekor lagi Pari berjaya dinaikkan dan terdapat juga hasil mata sahaja. Ikannya berjaya melarikan diri setelah puas menahan tali keluar. Nasib tidak menyebelahi mereka ni. Ketika ini bot kedua hanya berada bersebelahan dengan bot kami.
Tangkap dan lepas, Ikan kerapu kecil yang tidak cukup umur di lokasi yang sama, kami lepaskan kembali untuk ia membesar pada masa hadapan. Mungkin usaha ini tidak sehebat mana tetapi hanya ini yang mampu kami praktikkan selalu.
Ketika saat akhir berada di lokasi ini, salah satu joran berumpankan perumpun berjaya menghasilkan ikan Pari diatas. Memang jarang keadaan ini berlaku tetapi ini lah yang dikatakan rezeki. Perambut pula hanya 30 paun dan tali sauh terpaksa dilepaskan untuk membantu kerja menaikkan ikan ke dalam bot.
Keseluruhan hasil 2 bot pada trip kali ini

Walaupun keadaan angin agak kuat ketika tengahri, aktiviti memancing masih dapat diteruskan dengan baik tanpa halangan. Trip berakhir ketika jam 6.30 petang dan bot terus bergerak untuk pulang ke pengkalan.