Khamis, 26 Julai 2018

Trip 23/7 Memburu Kerapu Sangkar 2

Hari ini masih lagi dengan agenda sama seperti semalam. Spesis Kerapu menjadi sasaran kami. Setelah selesai mencari umpan, kami terus bergerak ke lokasi pertama. Hujan dan angin kencang menyambut ketibaan kami. Kami terus ke sangkar ikan dan berlabuh sehingga petang. Berbeza dengan air surut yang dikejar sebelum ini, hari ini air pasang pula yang kami nantikan. Lokasi memancing agak penuh dengan bot yang lain dan kebanyakannya rapat ke sangkar.

 Tangkapan pertama seekor Kerapu Bintik dengan umpan ikan hiris.

Ketika ini hujan sudah berhenti dan angin agak tenang. Air kelihatan hijau dan arus agak perlahan. Memang sesuai untuk memancing rasanya. Agak lama kami menunggu di sini, dan lebih sejam barulah ada ragutan kasar di hujung kail.

Saya menggunakan joran kasar kali ini memandangkan joran kecil yang biasa saya gunakan kerap kecundang kebelakangan ini. Sangkaan saya tidak benar, ada juga kes putus walaupun perambut sebesar 60 paun yang digunakan. Ikan di sini agak cerdik kerana boleh mengesan tali perambut yang digunakan. Oleh kerana sudah 3 kali putus, perambut 80 paun pula yang saya gunakan. Tak mahu kehilangan ikan lagi.


Selepas itu barulah seekor Kerapu Hibrid besar ini berjaya saya naikkan. Itu pun selepas bersusah payah mengelak sangkut di bawah. Ikan jenis ini memang kuat melawan, lebih-lebih lagi jika berada pada kedalaman melebihi 10 meter. Jika joran kecil yang digunakan, sudah pasti kecundang.

Sepanjang berlabuh di sini, banyak ikan Senangin berlegar di kawasan tali sangkar dan kerap memutuskan perambut kami. Hanya seekor yang berjaya dibawa naik dan selebihnya ikan Kerapu. Ketika air surut, tiada langsung tangkapan lain. Kemungkinan besar air hujan dari luar masuk ke melalui lokasi kami. Sudahnya kami pulang selepas itu. Keseluruhan hasil yang diperolehi melebihi jangkaan kami.