Khamis, 26 Julai 2018

Trip 21/7 Bang Mancasting dan Rakan

Seperti biasa, aktiviti mencari ikan umpan berlangsung pada waktu pagi di kawasan larangan. Bukan tiada umpan lain dibawa tetapi ia adalah kewajiban bagi trip kami sebagai salah satu aktiviti pemanas badan sebelum trip berlangsung. Setelah dihalau keluar dari lokasi tersebut, kami memancing di kawasan Peken 25 di mana terdapatnya salah satu tukun yang kami buang setahun yang lalu.

Seekor Senangin dan Tetanda berjaya dinaikkan setelah sejam menunggu. Pari yang ditunggu tak juga muncul. Keadaan angin sudah mula melawan arus dan ombak juga mula bersusun-susun masuk ke dalam selat. Kami berpindah terus ke Pulau Ketam sekitar jam 11 pagi. Beberapa lokasi tidak mendatangkan hasil dan kami menunggu air surut semula untuk masuk ke lokasi monster yang biasa dikunjungi ahli trip. 

Setelah air berubah surut, kami mula memancing di lokasi. Semua ahli trip yang biasa turun bersama kami memang sudah tahu kawasan ini mempunyai sejarah silam yang menyakitkan hati. Tetapi kali ini ahli yang baru dan pertama kali agak bernasib baik tidak mengalami mimpi ngeri tersebut. Beberapa tangkapan baik berjaya dibawa naik walaupun saiz nya tidak besar.

Namun mimpi ngeri tersebut di alami saya sendiri. Sebanyak 3 kali perambut berjaya diputuskan. Apa boleh buat, ikan di sini agak bijak memilih perambut kecil. Manakala perambut kasar tidak berusik langsung. Apa yang boleh saya lihat hanya joran melentur dan seketika melawan sebelum ringan semula tanda ikan sudah melepaskan diri.

Selesai trip, 4 ekor Kerapu yang dicari berjaya dinaikkan dan yang terbesar dinaikkan ahli trip yang baru. Seronok kan? Lebih-lebih lagi tangkapan kedua dengan joran kecil selembut sutera!