Jumaat, 6 Julai 2018

Jenahak atau Tetanda?

Air pasang pagi yang agak perlahan pada waktu ini memang sudah sesuai untuk memancing. Ketika ini air sudah mula mengurang dan agak jernih, cuma cuaca saja yang masih tak menentu. Hari ini saya turun lagi bersama rakan yang sama untuk mencari lauk. Setelah semua kelengkapan disediakan, kami bertolak ke lokasi berbekalkan udang hidup saja. Seperti biasa, mencari ikan umpan ketika trip memang menjadi rutin kami. Banyak juga umpan ikan yang kami perolehi sekadar mencukupi dengan masa yang ada. 


Ketika ini ada banyak spesis Cencaru yang kami perolehi. Saiznya sekadar sejengkal atau lebih. Ada juga Talang rempit yang mengganggu apollo kami. Yang putus dan ditarik kasar memang kerap berlaku. Maklumlah, apollo yang kami gunakan bersaiz kecil dan tidak mampu menahan asakkan kasar ikan yang lebih besar. Setelah selesai, kami mula memancing.


Lokasi pertama yang kami singgah, sekitar tiang Pken 25 yang terdapat banyak batu karang. Terdapat 3 spot yang kami singgah dan kesemuanya berhasil. Antara yang berjaya dinaikan, Tetanda dan Jenahak yang saya rasa seperti sama saja. Cuma panggilan berlainan. Terdapat juga Alu-Alu kecil yang berjaya memutuskan perambut. Tetapi salah satunya berjaya saya naikkan sebelum perambut putus di dalam tangguk. Ikan ini mempunyai gigi yang cukup tajam. Biasanya, jika saiz besar melebihi 1/2 kg, kita cuma akan dapat melihat ia berenang atau melompat ditepi sampan, sebelum perambut putus.


Selain itu seekor Tebal Pipi juga berada di celah-celah tangkapan lain. Umpan ikan lebih berkesan disini, berbanding umpan udang hidup yang lebih kerap habis diganggu ikan kecil. Cuaca berangin juga banyak mengganggu aktiviti memancing kami. Bot sentiasa berbuai mengikut pukulan ombak dan perambut sering tersangkut pada batu karang. Apa boleh buat, ikan sedang rancak memakan umpan dan keputusan untuk bertahan kelihatan berbaloi.


Ketika air mula surut, arus mula berkurangan. Tiada lagi ragutan kasar dan serancak ketika air mula surut tadi. Ketiadaan arus menandakan sudah sampai masanya kami berpindah ke lokasi lain yang lebih sesuai. Bot bergerak ke kawasan Padang di North Porth. Kawasan ini terdapat banyak Ikan Semilang besar dan Tetanda jika anda tahu dimana tempatnya. Tetapi malangnya tiada udang pasar yang kami bawa. Di kawasan ini, udang hidup hanya berkesan menjerat spesis sisik dan Pari saja. Antara ilmu dan kemahiran yang saya perolehi selama memancing di sini.


Setelah sampai, angin bergerak sehala dengan arus dan kami berlabuh di atas beting. Antara 4 lokasi yang kami singgahi, hanya 2 membuahkan hasil. Kedua lokasi tersebut memang laluan Ikan Tetanda seperti sebelum ini dan agak dalam sedikit. Hasilnya 4 ekor ikan tetanda dan seekor anak Talang berjaya kami naikkan. Trip berakhir sekitar jam 5.30 petang dan udang hanya berbaki 2 ekor. Tiada pembaziran umpan dan aktiviti mencari lauk berakhir hari ini.