Khamis, 26 Julai 2018

Trip 22/7 Memburu Kerapu Sangkar

Sangkaan saya terdapat 4 orang ahli trip hari ini, rupanya cuma bertiga termasuk saya sendiri. Hari ini saya bersama ahli trip yang biasa turun sebelum ini dan bersamanya ahli baru yang ingin mencuba nasib di Pulau Ketam. Sasaran utama hari ini adalah Kerapu sangkar yang agak kerap dinaikkan sepanjang air mati kali ini. Bukan lah niat saya menjanjikan tangkapan yang dicari tetapi berdasarkan trip sebelumnya, spesis ini kerap dibawa naik dan ada kemungkinan masih berada di lokasi tersebut.

Seperti biasa mencari umpan di kawasan larangan menjadi aktiviti utama di setiap trip dan kepada yang biasa turun bersama kami, ini adalah rutin biasa. Nasib tidak menyebelahi kami kerana tidak sampai 10 minit berlabuh, pegawai bertugas sudah pun menghalau kami keluar! Kami akur dengan arahan dan bergerak ke lokasi kedua juga kawasan larangan! Sesudah umpan mencukupi dengan jumlah sesuai, kami bergerak ke lokasi batu karang di laluan kapal Pelabuhan Barat. Hanya seekor Talang kecil dibawa naik dan kelibat Pari yang ditunggu masih tak kunjung tiba. Entah mengapa agak sukar pula pada air mati kali ini menjejak spesis ini.

Talang kecil dengan umpan ikan hiris.

Jam menunjukkan hampir 12 tengahari dan kami mengejar air surut semula. Bot terus menghala ke sangkar dan ketika itu air sudah mula surut namun tiada arus bergerak. Kami berlabuh di satu lokasi berkarang dan mempunyai sejarah pada salah seorang ahli trip hari ini. Kali ini dia mahu mencuba nasib sekali lagi, mencari spesis yang berjaya menarik keluar tali tanpa henti yang akhirnya pergi tak kembali. Mungkin hari ini ada lagi kot. Jam sudah hampir 2 petang dan arus mula melalui kawasan tersebut. Ketika ini saya sudah menaikkan seekor Tetanda.

Hampir sejam kami menunggu dan hanya Ikan Depu atau kerapu Singa yang menjadi habuan. Namun keadaan berubah ceria bila salah satu joran yang berada dihadapan ditarik kasar. Oleh kerana ahli trip masih baru dan joran digunakan agak panjang dari yang biasa, ikan berjaya melepaskan diri setelah perambut 2 mata yang digunakan putus separuh air. Biasanya pada yang tidak biasa memancing di sini, kadangkala ikan disangka sangkut. Padahal sangkut tersebut bergerak-gerak melawan tali.

Setelah itu 2 lagi tarikan kasar berjaya dinaikkan oleh orang yang sama. Entah mengapa joran yang sama juga mendapat sambutan pada hari ini. Rezeki orang baru mungkin. Sehingga senja berlabuh, 4 ekor Kerapu Bintik berjaya dibawa naik!