Khamis, 26 Julai 2018

Sekadar informasi, cuaca mempengaruhi persekitaran memancing.

Kawasan Pelabuhan Klang ketika ini sedang mengalami keadaan angin kencang yang tidak menentu. Kadangkala ia mempengaruhi kawasan selat yang terlindung. Sungguhpun terlindung dari angin kencang dari luar, sedikit sebanyak terdapat juga kesan yang ketara. Ini sering berlaku kepada setiap trip yang kami jalankan.

Apa yang berlaku pada hari ini, kesan kepada ribut yang berlaku di sebelah luar. Ikan tidak mahu menjamah umpan dan air kelihatan keruh walaupun ketika ini keadaan air masih perlahan dan sepatutnya jernih. Keladak halus yang melekat di sepanjang tali utama ketika memancing adalah petanda yang paling tidak enak dipandang. Apa yang boleh kami buat adalah mencari lokasi yang sesuai berdasarkan umpan yang dibawa.

Oleh itu penting sebenarnya mempunyai umpan yang pelbagai supaya jika berlaku keadaan seperti ini, ada alternatif lain yang boleh dilakukan. Jika tidak, masalah pasti berlaku memandangkan tidak semua lokasi dan masa sesuai dengan umpan yang sama. Hal ini kadangkala menyusahkan ahli trip kerana ia agak membebankan kerana faktor kos yang terpaksa dibelanjakan melebihi kemampuan mereka. Penting untuk kita mengetahui jumlah umpan yang dibawa mencukupi berdasarkan perbelanjaan yang ada. Jangan terlebih tetapi mencukupi dan pastikan umpan terjaga rapi supaya tidak rosak sepanjang trip berlangsung.

Selain angin kencang dan ombak besar, satu lagi faktor adalah hujan yang turun pada hari tersebut. Jika hujan turun pada sebelah malam dengan lebat dan air pula surut, sudah pasti air dari darat akan melalui kawasan ini. Air dari darat ini agak tawar dan dipenuhi keladak dan sampah. Jika ini berlaku, elakkan berada di laluan air ini. Cari laluan air masin dari luar yang masuk melalui lokasi memancing. Tidak semua kawasan mengalami jumlah hujan yang sama.

Sekiranya air surut menghala keluar, air akan mengalami kitaran semula dan ketika air pasang pasti membawa masuk air masin kembali. Ketika ini ada kemungkinan ikan dari luar masuk bersama dan kebarangkalian untuk mendapat tangkapan lebih tinggi ketika ini. Hal ini sering kami perhatikan dan kerapkali berlaku bila waktu air surut ikan rancak makan tetapi tidak ketika air pasang. Begitu juga sebaliknya.

Ketika ini hanya beberapa ekor ikan kecil yang kami perolehi sepanjang trip berlangsung. Ketiadaan umpan yang sesuai menjadikan situasi memancing kami lebih sukar dari yang dijangka. Walaupun tiada tangkapan baik, masih ada sesuatu yang kami perolehi boleh digunakan untuk masa akan datang, iaitu pengalaman!