Masih lagi dengan agenda mencari laluan ikan Semilang di kawasan selat dan kali ini saya bersama dua rakan dari pengkalan yang berbeza. Matlamat hari ini, mencari dan menjengah laluan lama yang mempunyai Ikan Semilang. Seperti biasa, umpan udang pasar, udang hidup dan perumpun sarang ada dibawa bersama. Yang pasti, perumpun sarang adalah umpan wajib dibawa. Umpan yang lain hanya sekadar selingan kepada spesis lain.
Umpan perumpun sarang lebih efektif di kawasan selat dan muara sungai. Selain ikan semilang, ikan Tetanda dan gerut juga boleh kita perolehi jika bernasib baik. Berbanding dengan umpan udang hidup yang kadangkala tidak dapat ditelan ikan kecil memandangkan saiznya agak besar. Hanya kaki dan mata saja yang hilang manakala badan udang hanya menjadi santapan sesirat.
Keadaan air ketika kami sampai di lokasi, masih bergerak surut dan muka sungai yang kecil menjadi sasaran utama. Malangnya, tiada langsung spesis yang kami cari. Kemungkinan besar, ia masih belum keluar dari alur sungai yang masih mengalir. Kebiasaannya ikan semilang gemar meniti alur sungai ketika air surut. Ia akan berkumpul di muka alur sungai yang perlahan arusnya. Jika kita jumpa di mana ia berkumpul, tunggu saja joran ditarik tanpa henti sehingga lah semua kawanan nya dibawa naik. Biasanya ketika air mula surut habis hingga lah air mula naik pasang.
Yang dicari belum muncul, kami berlabuh ke tengah sedikit untuk mencari laluan spesisi lain. Hasilnya, satu dari lokasi yang kami singgah, menghasilkan seekor ikan Pari hampir 10kg. Hasil umpan udang hidup yang telah hilang kaki. Perlawanan tarik tali tidak lama sebelum ia berjaya kami tangguk ke dalam bot.
Selepas itu Semilang muncul, kemudian Tetuka, Gelama dan Baguk kuning. Sudah lama saya tidak melihat spesis Baguk Kuning di muara. Biasanya spesis ini berada diluar kawasan dan menjadi rebutan peminat ikan ini ketika ia naik di pengkalan. Biasanya hasil merawai di kawasan luar persisir. Cuma seekor yang kami dapat dan saiznya tidaklah besar mana.
Ketika air mula perlahan, kami berlabuh semula ke lokasi pertama di muka sungai. Tak sampai 5 minit berlabuh, seekor demi seekor ikan Semilang kami bawa naik ke bot. Umpan perumpun dan udang mati juga berkesan di waktu ini. Ada juga gangguan Sesirat tetapi agak berbaloi jika dikira dengan Ikan yang dibawa naik.
Setelah air mula pasang, angin selatan mula melalui lokasi kami memancing. Angin yang kuat ini menjadikan bot kami sentiasa bergerak-gerak dan ini lah masa sesuai untuk menamatkan trip kali ini. Hasilnya boleh dibanggakan jika dikira dari keadaan air yang sememangnya agak laju hari ini. Sampai di pengkalan, ikan Pari dipotong kepada 3 bahagian dan dibahagi samarata.