Ahad, 31 Mei 2015

Trip Bulan Mei, Kembali ke Pulau Ketam...

Hampir beberapa bulan tidak ke Pulau Ketam, bulan ini kami turun semula ke lokasi. Ramai yang tertanya-tanya mengapa trip ini dihentikan sementara dan baru sekarang ia diteruskan. Ini antara sebabnya mengapa....

Trip Izwandi dan Rakan



 Trip Razali dan Rakan





Bila sudah ada tangkapan begini, barulah seronok memancing. Saya sendiri tidak pasti kemana perginya penghuni di kawasan ini pada trip sebelumnya yang sering kumpau. Kepada yang berminat untuk trip di kawasan ini boleh la menempah tarikh yang sesuai..

Mengendap Senohong, antara kesabaran dan rezeki..

Ikan Senohong atau Kurau bersaiz mega adalah tangkapan paling mahal yang biasa diburu pemancing muara. Harganya yang mahal sekitar rm40 ke Rm55 sekilogram setaraf dengan usaha mendapatkannya. Restoran Cina yang menyajikan makanan laut mewah ini biasanya tidak menolak spesis mahal ini. Ini adalah salah satu dari rezeki kami pada bulan ini.

 Senohong seberat 4.7 kg ini diperolehi setelah setengah hari berpanas di laut. Kami hanya menunggu ketika air sesuai dan turun ketika jam 1.00 tengahari. Umpan Cabuk segar menjadi pilihannya. Walaupun disuakan umpan Ikan Bulu Ayam dan Kasai, umpan Cabuk menjadi pilihan. Lokasi ini berada di laluan kapal berlabuh berhampiran dengan dermaga. Laluan seperti ini memang diketahui menjadi laluan utama untuk mencari makanan. Namun kami akui memang sukar untuk menjejakinya. Tanpa kesabaran, ia mungkin hanya mimpi sahaja.

Untuk memburu spesis ini, biasanya air mati adalah yang terbaik sekali. Waktu sesuai adalah sekitar waktu bunga pasang dan air balas surut. Ketika ini air perlahan memudahkan ia dijejaki di lubuk yang telah di sasarkan. Ada juga juga kes dimana spesis ini diperolehi ketika air laju, sebagai contoh di sekeliling reba di tebing pantai. Kerap kali ia diperolehi melebihi seekor di satu lokasi.

Kami bernasib baik kerana mata kail yang tertusuk pada tepi bibirnya tidak terlepas ketika di karau. Pada yang berminat untuk memburu spesis ini, pastikan kesabaran anda pada tahap maksima!

Keadaan Air Sesuai Untuk Memancing Jun 2015

Berikut kami senaraikan hari yang sesuai untuk memancing.
       
1         Air Besar
2         Air Besar
3         Air Besar
4         Air Besar
5         Air Besar
6         Air Besar
7         Air Mengurang
8         Air Menyorong Kecil
9         Air Mati
10       Air Mati Tak Berarus
11       Air Mati
12       Air Menyorong Besar
13       Air Menyorong Besar
14       Air Menyorong Besar
15       Air Besar
16       Air Besar
17       Air Besar
18       Air Besar
19       Air Besar
20       Air Besar
21       Air Besar
22       Air Mengurang
23       Air Menyorong kecil
24       Air Mati 
25       Air Mati Tak Berarus
26       Air Mati
27       Air Menyorong Besar
28       Air Menyorong Besar
29       Air Besar
30       Air Besar

Tarikh paling sesuai untuk memancing adalah sekitar 7-9, 11-14, 16, 22-24, 26-28

Semua informasi di atas sekadar petunjuk sahaja dan bukanlah tepat. Semuanya bergantung kepada cuaca, lokasi dan keadaan arus pada waktu yang dinyatakan. Paling penting rezeki dari Allah Ta'ala. Sedikit pengalaman sebagai pemancing di kawasan ini, kami kongsikan bersama anda.

Jumaat, 24 April 2015

Keadaan Air Sesuai Utk Memancing May 2015

Berikut kami senaraikan hari yang sesuai untuk memancing.
       
1         Air Menyorong Besar
2         Air Besar
3         Air Besar
4         Air Besar
5         Air Besar
6         Air Besar
7         Air Besar
8         Air Besar
9         Air Mengurang
10       Air Menyorong Kecil
11       Air Mati
12       Air Mati Tak Berarus
13       Air Mati
14      Air Menyorong Besar
15       Air Menyorong Besar
16       Air Menyorong Besar
17       Air Besar
18       Air Besar
19       Air Besar
20       Air Besar
21       Air Besar
22       Air Besar
23       Air Mengurang
24       Air Menyorong Kecil
25       Air Mati
26       Air Mati Tak Berarus
27       Air Mati
28       Air Menyorong Besar
29       Air Menyorong Besar
30       Air Menyorong Besar
31       Air Besar

Tarikh paling sesuai untuk memancing adalah sekitar 1, 9-11, 13-16, 23-25, 27-30

Semua informasi di atas sekadar petunjuk sahaja dan bukanlah tepat. Semuanya bergantung kepada cuaca, lokasi dan keadaan arus pada waktu yang dinyatakan. Paling penting rezeki dari Allah Ta'ala. Sedikit pengalaman sebagai pemancing di kawasan ini, kami kongsikan bersama anda.

Membersihkan teritip sambil membawa ibu memancing..

Teritip yang mula tumbuh melata di bawah perut bot memang membebankan enjin. Oleh yang demikian, kerja mencuci teritip ini adalah rutin bulanan saya. Kadangkala berteman kadangkala berseorangan. Kali ini saya membawa ibu sebagai peneman dan sebagai acara sampingan, memancing selepas selesai kerja.

 Tenaga yang banyak diperlukan untuk kerja sebegini. Sauh dilabuh terlebih dahulu supaya bot tidak bergerak sebelum kerja dimulakan. Namun bot akan tetap bergerak mengikut alunan air dan kadangkala kaki saya tidak jejak ke dasar. Jaket keselamatan pula saya gunakan sepanjang masa bekerja. Hampir 2 jam kerja dijalankan, dan setiap kali kerja pasti ada saja luka di jari. Teritip memang tajam dan boleh melukakan.

 Terdapat bot lain yang singgah di sini tetapi semuanya hanya berlabuh seketika. Mungkin tidak tahan dengan sangkut yang berpanjangan..

Selesai saja kerja dijalankan, air sudah surut separuh dan waktu paling sesuai mencari Perumpun. Setelah puas mengorek dan berpuas hati dengan hasilnya, kami terus ke lokasi memancing. Berbeza betul setelah bot bersih dari teritip. Jika sebelumnya tiada langsung kelajuan dan bunyi enjin yang kuat, kini lebih laju dengan hanya sedikit pulasan minyak.

Antara karang dan sisa besi yang kami naikkan ketika ini jelas menunjukkan bahawa ada penghuninya..

Lokasi kali ini, tapak kapal karam lama, Nort Porth. Kawasan ini sudah saya tanda untuk memudahkan pencarian. Lokasi ini hanya boleh ditemui ketika air surut pasang besar. Sukar menjejakinya ketika air mati lebih-lebih lagi waktu malam. Ketika ini air sudah mula mengurang dan agak perlahan. Cara memancing di sini juga perlukan sedikit kemahiran berlabuh. Kehilangan batu ladung dan perambut memang tidak dapat dielakkan. Tetapi jumlahnya boleh dikurangkan. Bagaimana?

Mudah saja.. Pendekkan perambut, guna perambut halus dan berlabuh di tempat selamat mengikut arus. Perambut halus akan dapat menyelamatkan batu ladung yang lebih mahal dari mata kail dan perambut pendek akan dapat mengurangkan tersangkut sekiranya ikan membawa lari umpan ke reba. Kedudukan bot juga harus selari dengan arus walaupun ada gangguan angin. Dengan kata lain, anda memancing di sekeliling kapal tetapi bukan di atas kapal.

 Yang kecil..

 Yang besar..

 Hasilnya hampir 10 ekor Semilang dinaikan sekitar 1.4kg hinggalah sebesar lengan. 4 Tetanda dan selebihnya Gelama. Sehingga umpan yang terakhir, kami pulang pada jam 5 petang ke pengkalan. Walaupun masa memancing tidak panjang, tetapi hasil memang boleh dikatakan baik.



Ahad, 19 April 2015

Trip PD Komando_sg, Acid dan Eboi

Setelah sekian lama dengan pancingan dasar, Jemik, Acid dan Eboi kini beralih kepada pancingan jigging pula. Beberapa trip telah diatur sebelum ini dan hasilnya pula sangat memuaskan hati. Pada ketika ini, lokasi jigging di Port Dikson adalah lokasi yang terbaik setakat ini.


 Lokasi pancingan ini berada di kawasan sempadan Malaysia dan Indonesia. Kesemua spot yang telah dibawa oleh tekong memang berisi. Hasil seperti Tenggiri dan Talang adalah biasa. Jika bernasib baik, Jenahak atau Merah turut masuk ke dalam kotak ikan. Bot yang dinaiki mereka juga agak laju dan selesa.


 Hasil tangkapan Eboi..

 Jika mereka ni dah bersama dalam satu bot, memang habis lah ikan kat kawasan ni..

 
 Keseluruhan hasil selama seharian di laut. Dari kiri Acid, Rakan Eboi, Eboi dan Komando_sg@Jemik

 Kesemua tangkapan telah dijual semula kepada Tekong dan sedikit sahaja dibawa balik sebagai lauk masing-masing..

 Punyalah besar ikan yang mereka dapat, tapi yang kecil ni juga jadi hidangan..

Trip bermula pada 8 pagi dan berakhir sekitar jam 5 petang. Seperti biasa, hidangan petang menutup tirai trip hari ini.

Jumaat, 10 April 2015

Trip Menimba Ilmu, Menyusuri Sungai Langat Ke Muara Jugra

Pantai Kelanang merupakan penghujung Sungai Langat melalui Jugra. Satu lagi cabang menghala ke Port Klang, lokasi spot Tirusan yang biasa saya kunjungi. Namun jarak perjalanan ke sini amat panjang menyusuri sungai dari lokasi rumah kami. Pada kali ini, saya dan Komando_sg merancang untuk melalui sungai ini hingga ke muara Kelanang dengan menggunakan sampan 16 kaki dan enjin 30 Hp milik Jemik.


 
Tujuan trip ini dijalankan adalah, untuk menguji penggunaan minyak, jarak dan masa dari lokasi kami hingga ke Pantai Kelanang. Di samping itu, kami juga bercadang melabuh jaring di muara luar. Bertolak pada jam 7.30 pagi, dengan membawa jaring, 2 tong minyak, 1 tong ikan dan bekalan makanan sekadar yang ada saja. 

Lokasi Banting..

 Jambatan Pulau Karey..

 NGV Tech..

Batu Hampar Jugra

 Perjalanan ini mengambil masa 1 jam 20 minit melepasi Banting, Telok Bunut, Jenjarom, Kg Sawah, Chodoi seterusnya Batu Hampar. Pada trip yang lepas, Jemik telah berjaya sampai ke muara bersama 2 orang rakan, namun kekurangan ilmu menyebabkan trip tersebut gagal. Tapi kali ini, kami hanya berdua dengan misi tersendiri.

 Tongkang membawa besi kerap kali di lihat melalui sepanjang sungai ini. Tongkang milik Kilang besi ini membawa muatan besi dari kapal yang berlabuh di kawasan Paloh 1. Lokasi menghanyut dan Apollo Cencaru yang biasa kita dengar.

 
 Beberapa ilmu baru kami dapat pelajari di sini. Salah satu daripadanya, tentang tumbuhan yang banyak tumbuh di kawasan ini mengikut kemasinan air laut. Jika di kawasan hulu, terdapat banyak pokok Berembang, di kawasan payau berhampiran laut, pokok nipah banyak terdapat disini. Jumlah ikan patin yang bermain juga semakin berkurangan jumlahnya. Ketika menghampiri simpang 3, terdapat banyak ikan Belanak di sepanjang sungai ini.

 
 Satu lagi pelajaran baru untuk kami. Semua sampah seperti pokok nipah hanyut, kayu balak dan sebagainya dilihat sepanjang sungai tetapi tiada satu pun yang lepas ke laut. Ini menunjukkan bahawa sungai kita merupakan zon penampan sampah sebelum menghala ke laut. Kemungkinan besar, sampah ini tidak sempat dibawa arus dan berulang alik hanya di dalam sungai. Bagai nak gila tekong mengemudi bot mengelak kesemua sampah ini!

Ketika sampai di Muara Kelanang, air sudah surut. Tanpa membuang masa, jaring dilabuh di kawasan pantai. Kami lah satu-satunya bot paling kecil ketika ini. Kebanyakan nelayan disini menggunakan 21 kaki atau lebih. 

 
 Air masuk melalui belakang bot ketika melabuh jaring..

 Setelah melabuh jaring, kami hanya berehat dan menjaga kedudukan bot supaya selari dengan angin dan ombak. Bot sekecil ini, tidak boleh menempuh ombak dari belakang. Cara melabuh jaring juga perlu berhati-hati supaya air tidak masuk ke dalam bot. Hal ini tidak kami perhatikan dengan baik sehinggalah ia berlaku dan sepantas kilat kami mengubah strategi. Satu pengalaman baik untuk di kongsi bersama. Jika di dalam selat, jaring di labuh mengikut arah tiupan angin. Di sini, peraturan ini tidak boleh digunakan.

 Lokasi menjaring kami juga agak unik namanya. Kawasan ini di panggil Beting Perak. Beting ini sangat luas jaraknya dan mempunyai banyak ikan. Hasil seharian melabuh jaring, Talang, Tirusan, Senangin, Tenggiri, Bawal, Ketam, Gelama dan ikan kecil hampir memenuhi kotak ikan kami. Setelah air mula naik, kami bergerak semula ke hulu untuk perjalanan pulang bersama arus pasang.