Pantai Kelanang merupakan penghujung Sungai Langat melalui Jugra. Satu lagi cabang menghala ke Port Klang, lokasi spot Tirusan yang biasa saya kunjungi. Namun jarak perjalanan ke sini amat panjang menyusuri sungai dari lokasi rumah kami. Pada kali ini, saya dan Komando_sg merancang untuk melalui sungai ini hingga ke muara Kelanang dengan menggunakan sampan 16 kaki dan enjin 30 Hp milik Jemik.
Tujuan trip ini dijalankan adalah, untuk menguji penggunaan minyak, jarak dan masa dari lokasi kami hingga ke Pantai Kelanang. Di samping itu, kami juga bercadang melabuh jaring di muara luar. Bertolak pada jam 7.30 pagi, dengan membawa jaring, 2 tong minyak, 1 tong ikan dan bekalan makanan sekadar yang ada saja.
Lokasi Banting..
Jambatan Pulau Karey..
NGV Tech..
Batu Hampar Jugra
Perjalanan ini mengambil masa 1 jam 20 minit melepasi Banting, Telok Bunut, Jenjarom, Kg Sawah, Chodoi seterusnya Batu Hampar. Pada trip yang lepas, Jemik telah berjaya sampai ke muara bersama 2 orang rakan, namun kekurangan ilmu menyebabkan trip tersebut gagal. Tapi kali ini, kami hanya berdua dengan misi tersendiri.
Tongkang membawa besi kerap kali di lihat melalui sepanjang sungai ini. Tongkang milik Kilang besi ini membawa muatan besi dari kapal yang berlabuh di kawasan Paloh 1. Lokasi menghanyut dan Apollo Cencaru yang biasa kita dengar.
Beberapa ilmu baru kami dapat pelajari di sini. Salah satu daripadanya, tentang tumbuhan yang banyak tumbuh di kawasan ini mengikut kemasinan air laut. Jika di kawasan hulu, terdapat banyak pokok Berembang, di kawasan payau berhampiran laut, pokok nipah banyak terdapat disini. Jumlah ikan patin yang bermain juga semakin berkurangan jumlahnya. Ketika menghampiri simpang 3, terdapat banyak ikan Belanak di sepanjang sungai ini.
Satu lagi pelajaran baru untuk kami. Semua sampah seperti pokok nipah hanyut, kayu balak dan sebagainya dilihat sepanjang sungai tetapi tiada satu pun yang lepas ke laut. Ini menunjukkan bahawa sungai kita merupakan zon penampan sampah sebelum menghala ke laut. Kemungkinan besar, sampah ini tidak sempat dibawa arus dan berulang alik hanya di dalam sungai. Bagai nak gila tekong mengemudi bot mengelak kesemua sampah ini!
Ketika sampai di Muara Kelanang, air sudah surut. Tanpa membuang masa, jaring dilabuh di kawasan pantai. Kami lah satu-satunya bot paling kecil ketika ini. Kebanyakan nelayan disini menggunakan 21 kaki atau lebih.
Air masuk melalui belakang bot ketika melabuh jaring..
Setelah melabuh jaring, kami hanya berehat dan menjaga kedudukan bot supaya selari dengan angin dan ombak. Bot sekecil ini, tidak boleh menempuh ombak dari belakang. Cara melabuh jaring juga perlu berhati-hati supaya air tidak masuk ke dalam bot. Hal ini tidak kami perhatikan dengan baik sehinggalah ia berlaku dan sepantas kilat kami mengubah strategi. Satu pengalaman baik untuk di kongsi bersama. Jika di dalam selat, jaring di labuh mengikut arah tiupan angin. Di sini, peraturan ini tidak boleh digunakan.
Lokasi menjaring kami juga agak unik namanya. Kawasan ini di panggil Beting Perak. Beting ini sangat luas jaraknya dan mempunyai banyak ikan. Hasil seharian melabuh jaring, Talang, Tirusan, Senangin, Tenggiri, Bawal, Ketam, Gelama dan ikan kecil hampir memenuhi kotak ikan kami. Setelah air mula naik, kami bergerak semula ke hulu untuk perjalanan pulang bersama arus pasang.