Ikan Senohong atau Kurau bersaiz mega adalah tangkapan paling mahal yang biasa diburu pemancing muara. Harganya yang mahal sekitar rm40 ke Rm55 sekilogram setaraf dengan usaha mendapatkannya. Restoran Cina yang menyajikan makanan laut mewah ini biasanya tidak menolak spesis mahal ini. Ini adalah salah satu dari rezeki kami pada bulan ini.
Senohong seberat 4.7 kg ini diperolehi setelah setengah hari berpanas di laut. Kami hanya menunggu ketika air sesuai dan turun ketika jam 1.00 tengahari. Umpan Cabuk segar menjadi pilihannya. Walaupun disuakan umpan Ikan Bulu Ayam dan Kasai, umpan Cabuk menjadi pilihan. Lokasi ini berada di laluan kapal berlabuh berhampiran dengan dermaga. Laluan seperti ini memang diketahui menjadi laluan utama untuk mencari makanan. Namun kami akui memang sukar untuk menjejakinya. Tanpa kesabaran, ia mungkin hanya mimpi sahaja.
Untuk memburu spesis ini, biasanya air mati adalah yang terbaik sekali. Waktu sesuai adalah sekitar waktu bunga pasang dan air balas surut. Ketika ini air perlahan memudahkan ia dijejaki di lubuk yang telah di sasarkan. Ada juga juga kes dimana spesis ini diperolehi ketika air laju, sebagai contoh di sekeliling reba di tebing pantai. Kerap kali ia diperolehi melebihi seekor di satu lokasi.
Kami bernasib baik kerana mata kail yang tertusuk pada tepi bibirnya tidak terlepas ketika di karau. Pada yang berminat untuk memburu spesis ini, pastikan kesabaran anda pada tahap maksima!