Teritip yang mula tumbuh melata di bawah perut bot memang membebankan enjin. Oleh yang demikian, kerja mencuci teritip ini adalah rutin bulanan saya. Kadangkala berteman kadangkala berseorangan. Kali ini saya membawa ibu sebagai peneman dan sebagai acara sampingan, memancing selepas selesai kerja.
Tenaga yang banyak diperlukan untuk kerja sebegini. Sauh dilabuh terlebih dahulu supaya bot tidak bergerak sebelum kerja dimulakan. Namun bot akan tetap bergerak mengikut alunan air dan kadangkala kaki saya tidak jejak ke dasar. Jaket keselamatan pula saya gunakan sepanjang masa bekerja. Hampir 2 jam kerja dijalankan, dan setiap kali kerja pasti ada saja luka di jari. Teritip memang tajam dan boleh melukakan.
Terdapat bot lain yang singgah di sini tetapi semuanya hanya berlabuh seketika. Mungkin tidak tahan dengan sangkut yang berpanjangan..
Selesai saja kerja dijalankan, air sudah surut separuh dan waktu paling
sesuai mencari Perumpun. Setelah puas mengorek dan berpuas hati dengan
hasilnya, kami terus ke lokasi memancing. Berbeza betul setelah bot
bersih dari teritip. Jika sebelumnya tiada langsung kelajuan dan bunyi enjin yang kuat, kini lebih laju dengan hanya sedikit pulasan minyak.
Antara karang dan sisa besi yang kami naikkan ketika ini jelas menunjukkan bahawa ada penghuninya..
Lokasi kali ini, tapak kapal karam lama, Nort Porth. Kawasan ini sudah saya tanda untuk memudahkan pencarian. Lokasi ini hanya boleh ditemui ketika air surut pasang besar. Sukar menjejakinya ketika air mati lebih-lebih lagi waktu malam. Ketika ini air sudah mula mengurang dan agak perlahan. Cara memancing di sini juga perlukan sedikit kemahiran berlabuh. Kehilangan batu ladung dan perambut memang tidak dapat dielakkan. Tetapi jumlahnya boleh dikurangkan. Bagaimana?
Mudah saja.. Pendekkan perambut, guna perambut halus dan berlabuh di tempat selamat mengikut arus. Perambut halus akan dapat menyelamatkan batu ladung yang lebih mahal dari mata kail dan perambut pendek akan dapat mengurangkan tersangkut sekiranya ikan membawa lari umpan ke reba. Kedudukan bot juga harus selari dengan arus walaupun ada gangguan angin. Dengan kata lain, anda memancing di sekeliling kapal tetapi bukan di atas kapal.
Yang kecil..
Yang besar..
Hasilnya hampir 10 ekor Semilang dinaikan sekitar 1.4kg hinggalah sebesar lengan. 4 Tetanda dan selebihnya Gelama. Sehingga umpan yang terakhir, kami pulang pada jam 5 petang ke pengkalan. Walaupun masa memancing tidak panjang, tetapi hasil memang boleh dikatakan baik.