Selasa, 17 Mei 2016

Trip En.Fauzi dan rakan

Trip berlangsung di lokasi biasa sekitar jam 10.30 pagi. Perjalanan yang agak jauh mengambil masa 1 jam 20 minit dari pengkalan ke lokasi memancing kadangkala memenatkan kami. Bukan ahli trip saja yang bosan, saya sebagai pilot lagilah bosan memerah minyak!

Setelah sampai ke lokasi pertama, beberapa kali hanyutan tidak membuahkan hasil. Kemungkinan laluan tidak berpenghuni atau pun jig kami tidak sesuai. Setelah mengubah lokasi, barulah ada hasil dibawa naik. Antara hasil pertama, Ikan Gelama di atas ni.

Kerajinan menukar lokasi dan ahli trip yang tidak mengenal putus asa akhirnya berjaya menaikkan 2 ekor Jenahak kecil di satu lokasi berdekatan. Yang di atas ni hasil pertama..

Yang ini pula hasil kedua..

Kebanyakan ikan di sini dengan rakus membaham jig besi yang disuakan. Namun jika anda tidak bernasib baik, ikan yang sudah melekat di mata kail pun boleh terlucut semula.

Setelah menukar lokasi beberapa kali, tiada langsung sambaran kasar yang singgah di hujung kail kami. Hal ini berlaku di satu spot yang saya jangka mempunyai sisa tongkang lama di bawah. Biarpun hanyutan berulang kali di buat, nampaknya rezki tidak memihak kepada kami. Kerajinan ahli trip akhirnya berjaya juga menaikkan seekor lagi Jenahak besar.

Jig jenis ini perlu dikarau laju supaya lebih menarik perhatian.

Malang tidak berbau apabila ribut membadai bot kami pada waktu petang. Kanopi tercabut hampir menimpa kepala kami. Angin yang bergerak laju dari darat akhirnya reda stelah hampir 20 minit melalui kawasan kami. Kami pulang ke pengkalan pada jam 6.30 petang..

Ikan oh ikan, di mana duduk nya??

Seperti biasa, kali ini kami turun lagi mencari lokasi berpotensi yang baru untuk ditanda. Kawasan memancing sebenarnya sama, cuma kedudukan lokasi yang berpotensi perlu diselidik terlebih dahulu bagi memudahkan ikan dipancing. Sebenarnya, lokasi yang sudah ditanda berisi bukan lah sentiasa akan membuahkan hasil. Ikan juga bergerak dari masa ke semasa mencari kedudukan sesuai untuk berkumpul. Kita sebagai pemancing perlu rajin dan tahu bagaimana mencari kedudukannya.

Belum sampai lagi lah..

Jarak perjalanan mengambil masa sejam lebih ke lokasi memancing. Faktor enjin kecil dan muatan berat mempengaruhi pergerakan kami. Oleh sebab itulah, muatan harus dirancang terlebih dahulu dan tidak melebihi had yang telah ditetapkan. 

Banyak lokasi kali ini tidak berpenghuni. Puas kami bergerak dari satu spot ke satu spot namun hampa. sehinggalah ke satu spot yang mempunyai hasil di atas ini. Tebal pipi yang comel-comel berjaya dinaikan.

Hasil kedua di lokasi sama..

Hasil ketiga yang menelan mata jig ke dalam mulut..

Satu lagi bot yang hampa sejak dari pagi lagi, akhirnya berjaya menaikkan seekor ikan Senangin..

Tak terlepas, seekor Gelama..

Sekadar informasi, selengara jig anda dengan baik..

Kebanyakan dari kita amat kurang pengetahuan tentang penyelenggaraan jig dan rapala selepas digunakan. Hasilnya banyak peralatan ini yang dibeli dengan harga yang mahal, rosak begitu saja. Kali ini sedikit pengetahuan yang kami kongsikan mungkin boleh membantu anda.

Jig yang dibeli dibuat dari besi timah yang kurang berkarat, namun bahagian seperti mata kail dan gelung cincin amat mudah berkarat jika tidak diselenggara dengan betul. Hasilnya berlaku pengaratan pada bahagian Jig dan Gewang sehingga ia tidak boleh digunakan lagi.


Sebelum disimpan, rendam jig anda di dalam air tawar sebentar. Kalau nak mudah lagi, sediakan bekas kecil seperti botol yang dipotong disebelah anda ketika memancing. Tukar saja yang baru, yang lama terus rendam.

Setelah dicuci, lap dan keringkan sisa air dan barulah disimpan di dalam bekas jig anda.

Salah satu jig mikro yang pertama saya gunakan ketika turun ke laut. Jig seberat 40 gram ini kurang sesuai di kawasan air laju. Kesilapan pertama yang saya buat ketika mula mengenal mikro jig ni. Walaupun ringan, ada juga mangsa yang berjaya dinaikkan dengan jig ini termasuklah ikan Buntal dan Duri.

Mata kail dan gegelung cincin ini adalah bahagian yang paling mudah berkarat. Walaupun kerap dicuci, mata kail siap ini hanya boleh digunakan sebanyak 3 kali saja. Selepas berkarat ia akan tumpul dan tidak boleh digunakan lagi. Kadangkala untuk berjimat, saya gosok semula dan asah dengan batu pengasah.


Player seperti ini juga mudah berkarat di bahagian skru dan spring. Salah satu cara terbaik yang saya belajar sebelum ini ialah, buka saja dari bungkusan, rendam dalam minyak masak terlebih dahulu selama 2 ke 3 jam. Selepas itu baru dilap dengan kain dan baru lah digunakan. Cara ini dapat mengurangkan pengaratan yang berlaku dan memanjangkan usianya. Maklum lah, yang saya beli ni dari jenis murah dan mudah berkarat.

Adalah lebih baik sekiranya anda membeli gegelung cincin dan kili yang mahal sedikit. Jenis yang tahan karat dan boleh disimpan semula selepas dicuci. Begitu juga dengan mata kail dan player di atas, ada yang tahan karat tetapi harganya mahal sedikit. Sedikit informasi berguna dari kami untuk anda!

Ahad, 8 Mei 2016

Trip 7/5 Sahabat lama beraksi..

Sekitar tahun 2006 sahabat lama saya ni kerap turun bersama saya dengan bot kecil melintasi selat sekitar Port Klang. Saudara Tunku Sufrizal atau panggilan popularnya Gubah memang tidak asing pada kaki-kaki casting di Malaysia. Hari ini, saya bawakan mereka untuk trip jigging sekitar laluan kapal, Pintu Gedung.

 Hanyutan pertama di lokasi berjaya membuahkan hasil seekor Jenahak dan Merah sehinggalah arus mula menggila. Jig Mikro 60 gram yang kami gunakan mula hanyut dibawa arus ketika air mula bertukar keruh. Percubaan menggunakan jig lebih berat juga tidak membuahkan hasil. Terdapat beberapa zon yang membolehkan jig ringan boleh digunakan di sini.

 Ikan Gerut kecil yang berani menyambar mata jig saya..

 Selang beberapa ketika, seekor Merah berjaya dinaikkan ke atas bot dengan jig 80 gram yang saya gunakan. 

 Ikan apa yang saya sendirii pun tidak tahu jenisnya juga membaham jig 60gram yang saya hulurkan separuh air.

Hasil kerajinan, jig berat bersama sotong getah berjaya membuahkan hasil. Seekor Barakuda hampir 4 kg berjaya dinaikkan. Sebenarnya ikan ini bukanlah popular bagi pemancing yang sudah biasa di laut, namun bukan nilai yang menjadi matlamat tetapi keseronokan memancing yang yang dicari. Trip pulang pada jam 5.30 petang ke pengkalan setelah air mula laju dan keruh.

Trip Jigging, mencari, menambah, manajamkan ilmu..

Bukan mudah mencuba sesuatu yang baru jika kita tidak mempunyai ilmu yang cukup. Belajar melalui pengalaman adalah yang terbaik sentiasa kami praktikkan dari masa ke semasa. Trip kali ini untuk menajamkan kebolehan dan mengenal pasti lokasi yang berpotensi untuk trip akan datang. Ada diantara lokasi yang kami kunjungi ini ditemui sepanjang 2 tahun pencarian dan telah diuji berulang kali. Kemahiran yang memakan masa, tenaga dan belanja ini akhirnya membuahkan hasil yang boleh dibanggakan.

 Krew blog yang bertugas kali ini, Acid, Komando_sg, Hazrol, Saya dan seorang rakan jemputan en.Nasir.

 Dua buah sampan digunakan bagi memudahkan kerja mencari lokasi. Bot akan berhanyut di laluan yang telah ditanda setentang dengan arus supaya mudah untuk mengesan lokasi yang dicari. Umpan juga tidak boleh sama dengan yang lain supaya jenis jig yang berkesan boleh dikenal pasti. Walaupun bunyinya agak pelik dan menyusahkan, inilah tugas kami ketika di lapangan. Bukan sesuatu yang mudah, tetapi cuma dengan cara ini saja yang paling berkesan.

 Bot kecil 22 kaki dengan enjin 40hp kami memang cukup laju! Kami tertinggal jauh hampir 30 minit dibelakang mereka ketika pergi dan balik. Namun muatan sesuai untuk jigging di lokasi ini hanya membolehkan 3 orang maksimum saja untuk satu trip. Jika berdua lebih selesa dan selamat.

 Hasil lebih banyak memihak pada bot kecil Komando_sg dan Hazrol. Kecekapan mereka berjaya menaikkan hasil 4 ekor Jenahak dan kami hanya rabut sepanjang trip berlangsung.

 Setelah umpan mengena, Gps digunakan bagi menanda lokasi yang tepat untuk trip akan datang. Namun lokasi ini akan sentiasa berubah dan tidak semestinya berpenghuni pada masa akan datang. Radius pencarian akan berada di sekitar laluan yang telah ditanda tadi. Setelah berjaya ditanda, bot akan bergerak ke radius yang sama tetapi berada di garisan baru untuk diuji.

Hasil selama sehari bekerja menelan belanja hampir Rm500 ini memang agak sukar diterima akal. Anda bayangkan, jika tidak ada hasil yang berjaya dinaikkan. Kerja seperti ini bukanlah untuk mereka yang mudah berputus asa dan krew blog kami memangnya kental orangnya. Segelintir pemancing di luar sana, ada yang dengan mudah mencuri dengan menanda tanpa izin dari pemandu pancing bertugas. Jadilah pemancing beretika dan menghormati hasil kerja pemandu pancing anda. Selamat memancing!

Trip 2/5 Pulau ketam

Kawasan sangkar Pulau Ketam memang sentiasa ada tangkapan, dengan syarat air cantik, umpan terbaik dan rezki yang memihak kepada pemancing. Kadangkala tewas pada separuh masa pertama, menjadi pula pada waktu petang. Banyak faktor sekeliling yang menjadikan hari memancing lebih mencabar.

 Kebanyakan umpan yang disuakan hampir tidak menjadi pada sebelah paginya. Namun kerajinan dan semangat tidak berputus asa berjaya juga pada waktu petang. Kebanyakan tangkapan berjaya dinaikkan ketika waktu air pasang mula surut hinggalah surut separuh.

 Gatal-gatal menurunkan jig mikro membuahkan hasil hanya sekadar meluangkan masa yang berjalan.

 Tetanda kecil yang berjaya kami tipu dengan jig mikro 30 gram..

 Ikan Gelama yang agak rakus membaham jig mikro 45 gram..

 Hasil keseluruhan sehari memancing dengan pelbagai dugaan..

  Kebanyakan hasil kali ini berjaya dinaikkan dengan umpan mati dan udang hidup.

Ahad, 1 Mei 2016

Trip 28/4 Jenahak Mikro Jig

Walaupun sudah lama saya menjadi pemandu pancing di kawasan Port Klang, belum pernah ada lagi trip jigging yang dibuat. Kelemahan teknikal dan kemahiran yang belum berada di tahap sepatutnya, membuatkan saya sering menolak trip ini. Namun akhirnya saya akur dengan permintaan pelanggan yang sentiasa memberi sokongan. Hari ini, trip jigging ke paloh satu!

Laluan terdekat kawasan laluan kapal adalah pilihan terbaik memandangkan bot dan peralatan yang kurang sesuai untuk pergi lebih jauh. Semua spot ini telah saya uji berulang kali dengan pelbagai teknik jig supaya semua kemahiran dapat dipelajari melalui pengalaman sendiri. Orang lain ke ZeeZone untuk jigging, tapi saya hanya mampu di selat saja untuk belajar. Makan ke? Ada hasil ke? Jawapannya biarlah saya saja yang tahu..

 Perjalanan mengambil masa selama 1 jam 20 minit untuk sampai ke lokasi dengan kelajuan sederhana. Perlu jimatkan minyak sebaiknya supaya lebih banyak spot boleh dikunjungi. Lebih minyak, lebih kos, lebih mahal, beban pada pemancing dan saya sendiri. Sampai saja di lokasi, hasil pertama 2 ekor Jenahak setelah 1 jam berhanyut.


 Set Mikro yang digunakan memang agak kecil namun ketahanannya mengagumkan saya. Umpan yang digunakan pula sekitar 45 hingga 130 gram dari pelbagai jenis dan jenama. Cuma dengan cara ini saja kita akan tahu yang mana satu mendapat sambutan. Manakala kedalaman air sekitar 25 hingga 40 meter sahaja.

Walaupun kedalaman air yang cetek, saiz tangkapan sebegini sudah cukup melenguhkan tangan kita. Keseronokkan merasai patukan ikan pada hujung tali tanpa ada halangan dari batu ladung memang agak berbeza dari teknik pancingan dasar. Cuma pastikan peralatan yang anda guna sesuai dari pelbagai aspek. Jika tidak, bahu dan lengan akan menerima akibatnya.


 Hampir kebanyakan tangkapan berjaya dinaikkan pada waktu air balas ketika jam 10 hingga 1 tengahari. Selepas itu, angin mula membadai bot kami. Alun tinggi dan arus deras membataskan aktiviti memancing. Apa yang boleh dibuat, berpatah balik melalui laluan pulang.

 Dalam waktu alun mula membuai, masih sempat juga jig kami dibaham ikan. 

 Saya juga berpeluang menaikkan tangkapan sama sepanjang trip berlangsung. Jam sudah menunjukkan pukul 4 petang tetapi ikan masih rancak menjamah umpan kami. Apa yang saya lihat, kerajinan pemancing memang sangat diperlukan. Jika anda malas dan hanya mengharap jig dipatuk begitu saja, rasanya tak perlulah anda mengikuti trip seperti ini. Ikan memang di dalam air dan kumpau adalah biasa. Cuma usaha kita akan akan membezakan samada trip berjaya atau pun sebaliknya.

 Bekalan ais yg mula mencair akhirnya memaksa kami pulang awal ke pengkalan bagi mengelakkan ikan busuk. Hasil keseluruhan trip berjumlah 9 ekor anggaran 1 ke 3 kg berjaya memenuhi kotak ikan kami. Kepada yang berminat mengikuti trip ini, sila pastikan peralatan jig sesuai untuk dibawa. Set mikro dan slow jig untuk 45 hingga 250 gram perlu ada sekiranya diperlukan. Jangan nanti dah sampai lokasi, peralatan pula tak sesuai. Memancing hilangkan tekanan bukan cari tekanan!