Selasa, 17 Mei 2016

Sekadar informasi, selengara jig anda dengan baik..

Kebanyakan dari kita amat kurang pengetahuan tentang penyelenggaraan jig dan rapala selepas digunakan. Hasilnya banyak peralatan ini yang dibeli dengan harga yang mahal, rosak begitu saja. Kali ini sedikit pengetahuan yang kami kongsikan mungkin boleh membantu anda.

Jig yang dibeli dibuat dari besi timah yang kurang berkarat, namun bahagian seperti mata kail dan gelung cincin amat mudah berkarat jika tidak diselenggara dengan betul. Hasilnya berlaku pengaratan pada bahagian Jig dan Gewang sehingga ia tidak boleh digunakan lagi.


Sebelum disimpan, rendam jig anda di dalam air tawar sebentar. Kalau nak mudah lagi, sediakan bekas kecil seperti botol yang dipotong disebelah anda ketika memancing. Tukar saja yang baru, yang lama terus rendam.

Setelah dicuci, lap dan keringkan sisa air dan barulah disimpan di dalam bekas jig anda.

Salah satu jig mikro yang pertama saya gunakan ketika turun ke laut. Jig seberat 40 gram ini kurang sesuai di kawasan air laju. Kesilapan pertama yang saya buat ketika mula mengenal mikro jig ni. Walaupun ringan, ada juga mangsa yang berjaya dinaikkan dengan jig ini termasuklah ikan Buntal dan Duri.

Mata kail dan gegelung cincin ini adalah bahagian yang paling mudah berkarat. Walaupun kerap dicuci, mata kail siap ini hanya boleh digunakan sebanyak 3 kali saja. Selepas berkarat ia akan tumpul dan tidak boleh digunakan lagi. Kadangkala untuk berjimat, saya gosok semula dan asah dengan batu pengasah.


Player seperti ini juga mudah berkarat di bahagian skru dan spring. Salah satu cara terbaik yang saya belajar sebelum ini ialah, buka saja dari bungkusan, rendam dalam minyak masak terlebih dahulu selama 2 ke 3 jam. Selepas itu baru dilap dengan kain dan baru lah digunakan. Cara ini dapat mengurangkan pengaratan yang berlaku dan memanjangkan usianya. Maklum lah, yang saya beli ni dari jenis murah dan mudah berkarat.

Adalah lebih baik sekiranya anda membeli gegelung cincin dan kili yang mahal sedikit. Jenis yang tahan karat dan boleh disimpan semula selepas dicuci. Begitu juga dengan mata kail dan player di atas, ada yang tahan karat tetapi harganya mahal sedikit. Sedikit informasi berguna dari kami untuk anda!