Ahad, 1 Mei 2016

Trip 28/4 Jenahak Mikro Jig

Walaupun sudah lama saya menjadi pemandu pancing di kawasan Port Klang, belum pernah ada lagi trip jigging yang dibuat. Kelemahan teknikal dan kemahiran yang belum berada di tahap sepatutnya, membuatkan saya sering menolak trip ini. Namun akhirnya saya akur dengan permintaan pelanggan yang sentiasa memberi sokongan. Hari ini, trip jigging ke paloh satu!

Laluan terdekat kawasan laluan kapal adalah pilihan terbaik memandangkan bot dan peralatan yang kurang sesuai untuk pergi lebih jauh. Semua spot ini telah saya uji berulang kali dengan pelbagai teknik jig supaya semua kemahiran dapat dipelajari melalui pengalaman sendiri. Orang lain ke ZeeZone untuk jigging, tapi saya hanya mampu di selat saja untuk belajar. Makan ke? Ada hasil ke? Jawapannya biarlah saya saja yang tahu..

 Perjalanan mengambil masa selama 1 jam 20 minit untuk sampai ke lokasi dengan kelajuan sederhana. Perlu jimatkan minyak sebaiknya supaya lebih banyak spot boleh dikunjungi. Lebih minyak, lebih kos, lebih mahal, beban pada pemancing dan saya sendiri. Sampai saja di lokasi, hasil pertama 2 ekor Jenahak setelah 1 jam berhanyut.


 Set Mikro yang digunakan memang agak kecil namun ketahanannya mengagumkan saya. Umpan yang digunakan pula sekitar 45 hingga 130 gram dari pelbagai jenis dan jenama. Cuma dengan cara ini saja kita akan tahu yang mana satu mendapat sambutan. Manakala kedalaman air sekitar 25 hingga 40 meter sahaja.

Walaupun kedalaman air yang cetek, saiz tangkapan sebegini sudah cukup melenguhkan tangan kita. Keseronokkan merasai patukan ikan pada hujung tali tanpa ada halangan dari batu ladung memang agak berbeza dari teknik pancingan dasar. Cuma pastikan peralatan yang anda guna sesuai dari pelbagai aspek. Jika tidak, bahu dan lengan akan menerima akibatnya.


 Hampir kebanyakan tangkapan berjaya dinaikkan pada waktu air balas ketika jam 10 hingga 1 tengahari. Selepas itu, angin mula membadai bot kami. Alun tinggi dan arus deras membataskan aktiviti memancing. Apa yang boleh dibuat, berpatah balik melalui laluan pulang.

 Dalam waktu alun mula membuai, masih sempat juga jig kami dibaham ikan. 

 Saya juga berpeluang menaikkan tangkapan sama sepanjang trip berlangsung. Jam sudah menunjukkan pukul 4 petang tetapi ikan masih rancak menjamah umpan kami. Apa yang saya lihat, kerajinan pemancing memang sangat diperlukan. Jika anda malas dan hanya mengharap jig dipatuk begitu saja, rasanya tak perlulah anda mengikuti trip seperti ini. Ikan memang di dalam air dan kumpau adalah biasa. Cuma usaha kita akan akan membezakan samada trip berjaya atau pun sebaliknya.

 Bekalan ais yg mula mencair akhirnya memaksa kami pulang awal ke pengkalan bagi mengelakkan ikan busuk. Hasil keseluruhan trip berjumlah 9 ekor anggaran 1 ke 3 kg berjaya memenuhi kotak ikan kami. Kepada yang berminat mengikuti trip ini, sila pastikan peralatan jig sesuai untuk dibawa. Set mikro dan slow jig untuk 45 hingga 250 gram perlu ada sekiranya diperlukan. Jangan nanti dah sampai lokasi, peralatan pula tak sesuai. Memancing hilangkan tekanan bukan cari tekanan!