Bukan mudah mencuba sesuatu yang baru jika kita tidak mempunyai ilmu yang cukup. Belajar melalui pengalaman adalah yang terbaik sentiasa kami praktikkan dari masa ke semasa. Trip kali ini untuk menajamkan kebolehan dan mengenal pasti lokasi yang berpotensi untuk trip akan datang. Ada diantara lokasi yang kami kunjungi ini ditemui sepanjang 2 tahun pencarian dan telah diuji berulang kali. Kemahiran yang memakan masa, tenaga dan belanja ini akhirnya membuahkan hasil yang boleh dibanggakan.
Dua buah sampan digunakan bagi memudahkan kerja mencari lokasi. Bot akan berhanyut di laluan yang telah ditanda setentang dengan arus supaya mudah untuk mengesan lokasi yang dicari. Umpan juga tidak boleh sama dengan yang lain supaya jenis jig yang berkesan boleh dikenal pasti. Walaupun bunyinya agak pelik dan menyusahkan, inilah tugas kami ketika di lapangan. Bukan sesuatu yang mudah, tetapi cuma dengan cara ini saja yang paling berkesan.
Bot kecil 22 kaki dengan enjin 40hp kami memang cukup laju! Kami tertinggal jauh hampir 30 minit dibelakang mereka ketika pergi dan balik. Namun muatan sesuai untuk jigging di lokasi ini hanya membolehkan 3 orang maksimum saja untuk satu trip. Jika berdua lebih selesa dan selamat.
Hasil lebih banyak memihak pada bot kecil Komando_sg dan Hazrol. Kecekapan mereka berjaya menaikkan hasil 4 ekor Jenahak dan kami hanya rabut sepanjang trip berlangsung.
Setelah umpan mengena, Gps digunakan bagi menanda lokasi yang tepat untuk trip akan datang. Namun lokasi ini akan sentiasa berubah dan tidak semestinya berpenghuni pada masa akan datang. Radius pencarian akan berada di sekitar laluan yang telah ditanda tadi. Setelah berjaya ditanda, bot akan bergerak ke radius yang sama tetapi berada di garisan baru untuk diuji.
Hasil selama sehari bekerja menelan belanja hampir Rm500 ini memang agak sukar diterima akal. Anda bayangkan, jika tidak ada hasil yang berjaya dinaikkan. Kerja seperti ini bukanlah untuk mereka yang mudah berputus asa dan krew blog kami memangnya kental orangnya. Segelintir pemancing di luar sana, ada yang dengan mudah mencuri dengan menanda tanpa izin dari pemandu pancing bertugas. Jadilah pemancing beretika dan menghormati hasil kerja pemandu pancing anda. Selamat memancing!