Tahun 2019 yang cukup mencabar penuh dugaan akhirnya berlalu pergi. Kemunculan tahun 2020 membawa seribu erti kepada kami. Pelbagai suka duka berjaya dilalui, walaupun pedih, perit dan penuh cabaran, ianya akan tetap menjadi pengalaman berharga buat kami.
Dalam menghadapi pelbagai masalah mendatang, kami akan cuba sedaya upaya memperbaiki perkhidmatan sedia ada dan insyaallah, mencari sesuatu yang baru dan lebih mencabar.
Industri sukan memancing di kawasan Port Klang kini lebih mencabar berbanding tahun yang sudah. Hasil pancingan sudah tidak seperti dahulu. Kini, kebanyakan kawasan lebih tertumpu di bahagian luar persisir pantai yang lebih menjanjikan hasil lebih baik. Namun, dengan jarak yang jauh, kos yang tinggi dan risiko keselamatan yang lebih besar. Untuk pemancing tegar, ia bukanlah halangan. Kepada rakan pemancing diluar sana, hargailah peluang yang ada dan sentiasa menjaga keselamatan diri ketika dilaut. Penggunaan jaket keselamatan sepatutnya sudah menjadi kewajiban kepada setiap pemancing yang turun ke laut. Keselamatan anda adalah tanggungjawap anda sendiri.
Banyak perancangan yang telah dibuat sebelum ini menemui kejayaan dan kegagalan. Sebagai contoh, pembinaan tukun muara sebagai percubaan. Ada yang berjaya dan ada juga yang gagal. Kebanyakan lokasi ini sudah digunakan oleh rakan pemancing yang lain. Jaga dan hargailah ia kerana ia untuk kegunaan bersama. Kepada rakan lain yang mengikuti jejak kami, berusahalah lebih baik lagi dan insyaallah, usaha anda pasti tidak akan sia-sia. Jagalah kebersihan dan kelestarian sumber laut kita supaya ia berkekalan sepanjang masa.
Akhir kata dari kami, terima kasih kepada semua rakan pemancing yang masih menyokong blog ini dari dulu hingga sekarang. Semoga tahun baru 2020, akan menjadikan dunia memancing kita lebih baik dan lebih bererti. Selamat tahun baru 2020 dari kami krew pancingport.blogspot!