Sekali terkena getah, memang melekat selamanya. Inilah perumpaan memancing dan ayat biasa kepada pemancing baru. Perasaan yang berbeza dengan pancingan dasar. Jika pancingan dasar, anda perlu rentap joran bila ikan sudah terkena kail dan batu ladung menjadi penghalang. Tetapi jika teknik jigging yang digunakan, ikan makan dihujung kail, tanpa ada halangan.
Hari ini kami turun mencuba spot baru yang sebelum ini belum sempat dicuba lantaran terlalu banyak spot yang dikunjungi. Seperti biasa, tidak semua spot berpenghuni, ada masa tertentu sahaja yang berhasil. Bergantung pada "piantan" dan rezki pada waktu tersebut. Setakat ini alhamdulillah, lokasi yang dikunjungi sentiasa membuahkan hasil walaupun kadangkala tidak seperti yang diharapkan.
Lokasi pertama adalah kawasan lubang berbukit dan mempunyai sangkut. Sebenarnya ada banyak lokasi reba karang disini, cuma lokasi tersebut sebolehnya dielak, lantaran jig besi yang berhasil agak sukar diperolehi. Jauh kami berjalan mencari umpan besi ni, ada yang sampai ke Johor, Negeri Sembilan dan Melaka. Tidak semua jig akan berhasil dan biasanya hanya jig yang telah diuji berkesan saja yang digunakan. Jimat masa dan tenaga. Bukan itu saja, inilah faktor utama mengapa pemandu pancing saja yang biasa berhasil apabila trip berlangsung.
Kali ini mangsa pertama di spot baru adalah jig mahal milik Abg Acim. Oleh kerana joran PE 0.4-1 yang kami gunakan, penghuni dasar berjaya membawa lari umpan. Itu pun setelah tuan punya joran berusaha gigih menarik mangsa keatas. Serentak di lokasi sama, saya juga mendapat sambaran dan mangsa berjaya dinaikkan. Faktor kejayaan adalah joran PE 0.4-2 yang saya gunakan. Biasanya tangkapan sekitar 2kg ke bawah amat sesuai dengan saiz joran kecil. Manakala tangkapan 2-5kg, sesuai dengan joran yang lebih besar. Tetapi jika joran melebihi ukuran tadi, ikan agak kurang berminat dengan umpan yang dihulurkan. Pelik bukan? Pergerakan jig dengan joran yang sesuai mungkin meningkatkan kebarangkalian hasil yang diperolehi.
Oleh kerana kesilapan pertama sudah pun kelihatan, kami menukar rentak permainan dan kebanyakan mangsa berjaya dibawa naik ke atas. Ikan di sini agak buas memakan jig. Buktinya apabila sambaran pertama terlepas, jig diturunkan semula dan masih disambar untuk kali kedua. Mungkin penghuninya banyak berkumpul dibawah dan waktu makan yang tepat. Penggunaan jig kecil sekitar 80-100 gram lebih berkesan jika dibandingkan dengan jig melebihi 120gram yang asik lucut dan kurang mendapat sambaran. Munkin jig kecil lebih mudah ditelan penghuni disini. Namun kerjanya lebih berat dan mencabar. Hanya untuk yang rajin berusaha saja boleh berjaya.
Untuk pengetahuan anda, hasil kali ini hanya yang kecil saja ke meja makan, tetapi yang besar semuanya ke dapur restoran! Daging dan kulitnya agak liat jika dimasak. Daripada menerima keluhan yang memakan, lebih baik ditukar menjadi resit masuk ke dompet kami..