Seperti biasa, trip jigging di sini tidak lah sehebat mana. Cukup sekadar untuk melepaskan geram. Namun begitu, kadangkala langsung tiada hasil. Begitulah rezeki di laut, terlindung dan tidak nampak dimata. Hanya untuk yang rajin dan yakin. Trip minggu ini sekadar memanaskan tangan dengan hasil comel sahaja.
Kawanan ikan Selar yang masuk di kawasan ini sudah boleh dilihat, namun hanya di sesetengah lokasi sahaja. Petanda kehadiran spesis ini dilokasi adalah burung Camar yang terbang rendah di permukaan air. Burung-burung ini terbang dan menjunam di permukaan air, menyambar krustasia dan ikan bilis yang juga menjadi makanan kawanan ikan Selar ini tadi.
Selesai mengumpul Selar, baru lah jig di turunkan di sepanjang laluan spot berpotensi. Jika ada sambaran, biasanya spesis yang terdapat di sini adalah Jenahak, Tebal Pipi dan Barakuda. Manakala spesis Talang dan Kerapu tidak banyak seperti Jenahak yang mendominasi kawasan sekitar Port Klang.
Hasil sasaran bergantung kepada bentuk, berat dan warna jig. Jika peralatan tepat dan sesuai, sudah pasti hasil boleh dikumpul. Rata-rata kebanyakan jig yang digunakan di sini sekitar 80 hingga 150 gram.
Jig kecil dan ringan lebih sesuai rasanya kerana lebih ringan. Ringan bermaksud kurang tenaga, masa memancing lebih lama, peralatan lebih murah dan kos yang kurang. Berbanding dengan slow jig yang berat, mahal dan meletihkan. Hasil kajian dan pelajaran selama 3 tahun di sini!