Rabu, 15 Januari 2020

Bot baru idaman..

Memiliki bot baru adalah idaman setiap pemilik bot. Namun, ia bukan perkara mudah jika kita tidak mempunyai modal yang cukup di dalam simpanan. Banyak kos yang perlu dibelanjakan untuk melengkapkan kesemua peralatan yang diperlukan. Pada tahun ini, perancangan membeli bot baru akhirnya berjaya dilaksanakan dengan kos yang kurang membebankan. Memandangkan bot lama sudah tidak sesuai digunakan, membeli bot lain adalah alternatif terbaik setakat ini. Bot yang lama perlu dibaiki dan kosnya hampir sama dengan membeli bot lain. Jadi, penyelesaian terbaik adalah dengan menukar kepada yang lain. Namun, hasil pencarian dan penantian  selama 5 bulan, akhirnya menemukan sebuah bot baru dengan harga yg lebih murah.


Pencarian ini berakhir di Setiawan Perak. Jika tiada halangan, barang yang dibeli akan dibawa balik pada bulan Februari ini. 

Bot ukuran 28 x 7 ini akan menggunakan 2 unit 60 kuasa kuda iaitu enjin lama sedia ada. Berikutan kegunaannya melewati kawasan yang agak jauh ketengah, rasanya 2 enjin lebih baik dan selamat. Walaupun kos operasinya agak tinggi, apa yang penting kami boleh pergi dan balik dengan selamat. Maklumlah, tiada siapa yang akan membantu jika berlaku kerosakan di tengah laut. Jika ada bantuan pun, masa menunggu yang begitu lama akan meningkatkan risiko keselamatan kami. 



Selain itu, peralatan sampingan juga perlu disediakan. Diantaranya ialah set stering, kanopi, dan modifikasi. Bot ini sebenarnya dicadangkan menggunakan enjin 115 kuasa kuda oleh pembuatnya. Jadi ukuran transom perlu diubah dan direndahkan supaya sesuai dengan enjin 60hp kami. Tiada masalah untuk itu kerana kemahiran sedia ada yang dipelajari membolehkan kami menyelesaikannya. Itu lah untungnya jika ada pengalaman dan seperti yang anda tahu, ia bukanlah proses mudah. 


Ada beberapa peralatan yang tidak perlu dibeli kerana telah ada sejak dahulu lagi. Antaranya sistem kawalan stering(stering set) dan kotak kawalan(remote). Semua peralatan ini masih berkeadaan baik dan hanya memerlukan sedikit baikpulih dan modifikasi. Kesemua peralatan ini disimpan sejak lama dahulu untuk kegunaan masa depan.

Bot ini mempunyai 4 kotak bertutup dan kotak umpan hidup.

Walaupun menggunakan 2 enjin, sistem pengoperasian masih lagi manual dan memerlukan keupayaan tenaga kerja yang banyak. Contohnya starter, masih lagi menggunakan kuasa tarikan tangan dan sistem kawalan tanpa hidrolik buat permulaan. Modal kecil, mula kecil, risiko kecil. Memang sukar dan berat kerjanya tetapi dengan perancangan teliti, insyaallah ia boleh dilaksanakan.